SOSHF Kehabisan Bajet 2026, Rayu Sumbangan Bantu Pesakit Jantung

SOSHF Kehabisan Bajet 2026, Rayu Sumbangan Bantu Pesakit Jantung

0
SHARE

KOTA KINABALU: Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah (SOSHF) kehabisan keseluruhan bajet 2026 seawal Ogos lalu susulan peningkatan keperluan bantuan rawatan kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital.

Presidennya, Datuk Eva Susau berkata, keadaan itu mendorong persatuan berkenaan merayu sumbangan orang ramai bagi memastikan pesakit baharu terus mendapat bantuan rawatan yang diperlukan.

“Tahun ini, keperluan bantuan meningkat lebih pantas berbanding dana yang kami miliki, dan keseluruhan bajet 2026 telah digunakan.

“Setiap tiket, setiap meja dan setiap ringgit yang disumbangkan memberi peluang kepada seorang kanak-kanak untuk membesar dengan sihat,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, antara Januari hingga September lalu, SOSHF menaja sepenuhnya rawatan lima pesakit dari Inanam, Semporna, Kinarut dan Keningau di Institut Jantung Negara (IJN) serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Katanya, empat daripada lima pesakit berkenaan berusia bawah dua tahun, termasuk seorang bayi berusia dua bulan, dan kesemuanya kini dalam proses pemulihan bersama keluarga masing-masing.

Beliau berkata, dianggarkan satu daripada setiap 100 bayi dilahirkan dengan penyakit jantung kongenital, manakala kes baharu terus dirujuk kepada persatuan itu.

Sehubungan itu, SOSHF akan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal Ulang Tahun Ke-45 pada 11 April 2027 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bagi mengumpul dana rawatan pesakit.

Majlis yang bakal dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman sebagai tetamu kehormat itu turut menampilkan persembahan nyanyian dan piano oleh bekas pesakit SOSHF.

Tiket individu ditawarkan pada harga RM250, manakala pakej meja bermula RM2,500 hingga RM8,000.

Orang ramai yang ingin menyumbang atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi SOSHF di talian 019-880 1270.