Tanah Runtuh Jejas Beranda Homestay di Kundasang

Tanah Runtuh Jejas Beranda Homestay di Kundasang

0
SHARE

RANAU: Beranda sebuah rumah penginapan, Nikie Villa, terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Gorowot Sinisian, Kundasang, di sini, petang Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.08 petang sebelum dua anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba pada jam 4.23 petang dan mendapati berlaku runtuhan tanah yang menjejaskan beranda rumah penginapan berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati tiada mangsa terlibat dan pasukan bomba turut memberikan nasihat kepada penduduk sekitar supaya berwaspada, khususnya ketika hujan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 5.14 petang selepas pemeriksaan dan pemantauan di lokasi selesai dijalankan.

“Pemantauan berterusan akan dilaksanakan di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk dan keadaan persekitaran,” katanya.

Operasi berkenaan turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).