Sabah Perkenal Bon 10 Peratus, Kekang Penternak Jual Induk Ternakan

Sabah Perkenal Bon 10 Peratus, Kekang Penternak Jual Induk Ternakan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperkenalkan sistem bon bernilai 10 peratus daripada harga ternakan bagi mengelakkan penternak menjual induk lembu dan kambing terlalu awal, sekali gus meningkatkan populasi ternakan di negeri ini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, langkah itu merupakan penambahbaikan Program Transformasi Ruminan Negeri yang dilaksanakan sejak kira-kira 10 tahun lalu, namun belum menunjukkan peningkatan ketara populasi ternakan.

Katanya, penternak perlu membayar bon berdasarkan nilai ternakan diterima dan wang berkenaan akan dikembalikan selepas tiga tahun sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.

“Nilai seekor lembu adalah kira-kira RM16,000, manakala kambing RM1,600. Jadi, bon yang perlu dibayar ialah 10 peratus daripada nilai tersebut untuk tempoh tiga tahun.

“Sekiranya lembu-lembu ini produktif dan menghasilkan dua hingga tiga ekor anak dalam tempoh itu, bon akan dikembalikan kepada penternak untuk mereka mengembangkan lagi perusahaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima ketibaan 950 ekor kambing bernilai kira-kira RM1.6 juta dan 140 ekor lembu tenusu baka Jersey Friesien dari Australia di MASKargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pada Selasa.

Menurutnya, sebanyak 395 ekor lembu tenusu diperuntukkan di bawah program itu, dengan baki 255 ekor dijadual tiba pada 27 Oktober ini.

Katanya, semua ternakan akan menjalani kuarantin kira-kira seminggu di Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Penampang sebelum diagihkan kepada penerima yang layak mulai 28 Oktober, tertakluk kepada pematuhan piawaian kuarantin.

Jamawi berkata, seramai 19 penternak akan menerima kambing, manakala lembu tenusu diserahkan kepada dua entiti iaitu SLDB dan Desa Keningau.

Beliau berkata, kerajaan turut menerima 850 ekor lembu pedaging bernilai kira-kira RM10 juta pada minggu sebelumnya, menjadikan keseluruhan peruntukan penghantaran ternakan lembu dan kambing sekitar RM17 juta.

Katanya, kerajaan menyasarkan tahap sara diri (SSL) daging ruminan meningkat kepada 40 peratus menjelang 2030, berbanding sekitar 25 peratus bagi daging lembu dan 5.5 peratus bagi kambing ketika ini.

“ Kita mahu penternak memelihara dan mengembangkan populasi ternakan mereka, bukan menjual induk selepas kelahiran pertama,” katanya.