Wanita 21 Tahun Maut, Myvi Terbabas Langgar Pokok di Tawau

Wanita 21 Tahun Maut, Myvi Terbabas Langgar Pokok di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang wanita berusia 21 tahun maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Bulatan Airport Lama, di sini, awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.29 pagi itu, mangsa tersepit di bahagian pemandu, manakala seorang lagi individu mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB II Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba pada jam 2.34 pagi dan menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas menyelamat.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 2.50 pagi, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, seorang lagi mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.