PRU-16: KDM, STAR BERPALING KE WARISAN, USAHA TERDESAK CARI TALIAN HAYAT SELEPAS...

PRU-16: KDM, STAR BERPALING KE WARISAN, USAHA TERDESAK CARI TALIAN HAYAT SELEPAS DITOLAK RAKYAT – G57

0
SHARE

KOTA KINABALU – Tindakan melompat parti atau menarik sokongan yang digerakkan oleh sesetengah blok politik bukanlah sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya ia hanyalah satu usaha terdesak bagi menutup kegagalan mutlak serta penolakan total rakyat terhadap mereka pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) yang lalu.

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar menegaskan bahawa senario politik hari ini jelas membongkar semula agenda tersirat penubuhan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sebagai ‘parti serpihan’ Parti Warisan (WARISAN). Sejak awal lagi, KDM digerakkan semata-mata untuk menarik sokongan masyarakat Bumiputera KDM selepas mereka menolak kepimpinan WARISAN.

Data rasmi keputusan pilihan raya negeri dengan jelas membuktikan bahawa cubaan parti-parti ini untuk mendominasi politik Sabah telah dihukum sepenuhnya oleh pengundi di peringkat akar umbi. Dalam PRN17, Parti KDM telah bertanding dengan agresif di 40 daripada 73 kerusi DUN Sabah, namun mereka menerima tamparan hebat apabila hanya berjaya memenangi satu kerusi sahaja iaitu DUN Paginatan menerusi Datuk Rusdin Riman.

Keputusan rasmi PRN-17 Sabah…(Sumber Foto: BH)

Simbol keruntuhan pengaruh KDM terbukti apabila Pemangku Presiden KDM sendiri, Priscella Peter, turut tumpas dalam cubaan meraih mandat rakyat di mana kegagalan ketua utama parti mengekalkan kemenangan adalah bukti moral bahawa parti ini sudah ditolak sepenuhnya. Senario yang sama menimpa Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) yang mana walaupun meletakkan calon yang ramai iaitu di 46 daripada 73 kerusi DUN, mereka mengalami kekalahan besar dan hanya mampu mempertahankan dua kerusi sahaja iaitu di DUN Tambunan dan DUN Bingkor.

Tindakan KDM yang cuba mengadakan perbincangan atau gerakan luar kerajaan bersama pakatan lama adalah langkah terdesak bagi membentuk talian hayat baharu pasca-kekalahan mereka. G57 mengingatkan rakyat bahawa asas penubuhan KDM tidak lari daripada pengaruh pengasasnya, Peter Anthony, iaitu orang kanan kepada Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang umum ketahui telah disabitkan dengan kes rasuah di mahkamah.

Berbanding dengan rekod buruk parti-parti serpihan ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor terus mendapat kepercayaan utuh sebagai blok yang membawa kestabilan sebenar demi pembangunan inklusif negeri.

Rakyat Sabah sudah memberikan keputusan yang sangat jelas dalam PRN17 di mana kegagalan meraih kerusi serta tumpasnya kepimpinan tertinggi KDM mempamerkan penolakan mutlak masyarakat Bumiputera KDM terhadap agenda peribadi mereka.

“Walaupun masih banyak kekurangan, namun jangkaan 4 hingga ke 5 tahun akan datang, 3 masalah kritikal iaitu isu air, krisis elektrik, dan masalah jalan raya akan mampu dinoktahkan sepenuhnya di bawah pentadbiran GRS,” katanya dalam kenyataan hari ini.