KOTA KINABALU: Kira-kira 2,500 peserta daripada enam parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka menghadiri Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha, Kudat pada 18 Oktober ini bagi membincangkan hala tuju politik serta agenda pembangunan negeri dan rakyat.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, konvensyen itu akan memberi tumpuan kepada dua perkara utama, termasuk hala tuju dan perancangan politik gabungan berkenaan serta pelaksanaan manifesto GRS.
Katanya, konvensyen berkenaan turut menjadi medan untuk membincangkan pencapaian GRS sepanjang lima tahun lalu, selain menilai perkembangan selepas hampir setahun menerima mandat rakyat menerusi pilihan raya lalu.
“Konvensyen ini akan memfokuskan kepada dua perkara. Selain daripada hala tuju dan perancangan politik GRS, ia juga akan menjadi medan untuk kita memaknai manifesto GRS.
“Kita akan mendiskusikan pencapaian GRS lima tahun yang lalu dan juga setelah hampir setahun kita mendapat mandat daripada rakyat dalam pilihan raya yang lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS, di sini, hari ini.
Armizan berkata, menteri-menteri turut diberikan ruang pada konvensyen itu untuk mengemukakan hala tuju kementerian masing-masing kepada kepimpinan GRS.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan perancangan kementerian bukan sahaja difahami oleh kepimpinan akar umbi, malah membuka ruang kepada mereka untuk memberikan maklum balas.
“Jadi konvensyen ini terasnya serampang dua mata. Bukan hanya agenda politik tetapi juga agenda pembangunan negeri dan juga rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata, pemilihan Kudat sebagai lokasi penganjuran menandakan perubahan pendekatan apabila Konvensyen GRS tidak lagi hanya berpusat di Kota Kinabalu.
Katanya, bermula tahun ini, penganjuran konvensyen berkenaan akan digilirkan mengikut zon dengan Kudat dipilih sebagai tuan rumah bagi 2026.
Selain konvensyen, katanya, menteri-menteri Kerajaan Negeri juga akan mengadakan program bersama rakyat di Kudat mengikut jadual kementerian masing-masing.
“Kita, seluruh pimpinan akan turun ke Kudat, bukan hanya untuk agenda politik, tetapi setiap kementerian juga akan ada program masing-masing.
“Jadi kita ingin meriahkan Kudat termasuk Pulau Banggi dengan program-program yang memberikan impak kepada rakyat,” katanya.






