KOTA KINABALU, SABAH – Pembabitan kaum hawa sebagai pembuat dasar dan keputusan membabitkan sektor-sektor awam di negeri ini berada di tahap memberangsangkan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir. Shahelmey Yahya berkata sasaran 30 peratus (30%) polisi nasional dapat dicapai dari semasa ke semasa melalui prestasi kerajaan sedia ada.
Prestasi terbabit termasuklah golongan wanita yang diletakkan di jawatan tertinggi perkhidmatan awam.
“Dari segi perkhidmatan Kerajaan kita ada sepuluh Setiausaha Tetap (SUT) yang mewakili setiap kementerian mereka.
“Dahulunya kita ada 30 peratus seperti SUT Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, SUT Pertanian dan Industri Makanan, dan sebelum itu Setiausaha Tetap bagi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), bagaimanapun Datuk Hajah Masnah Matsalleh yang merupakan bekas SUT telah dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN)…
“Itu merupakan 30 peratus (30%) daripada jumlah SUT iaitu perkhidmatan yang tinggi dalam Kerajaan,” katanya.
Jelas beliau, selain di peringkat berkenaan, pengiktirafan tersebut juga membabitkan jawatan tertinggi yang lain di negeri ini.
“Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga menjadi sejarah seorang wanita pertama sejak DBKK ditubuhkan dan Peguam Negeri juga seorang wanita. Itu juga merupakan jawatan-jawatan penting yang akan mempengaruhi dasar-dasar perkhidmatan awam di negeri Sabah…
“Di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), kita telah memenuhi tiga puluh peratus tersebut malah lebih,” katanya.
Shahelmey berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2021 anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) di Kota Kinabalu, hari ini.
Beliau juga berharap sambutan Hari Wanita ini dapat memberi motivasi serta menaikkan semangat wanita untuk terus berdaya saing.
“Saya berharap wanita khususnya yang ada di negeri Sabah termasuk kumpulan sasar di bawah KPMKR akan bersama-sama berganding bahu untuk berusaha meningkatkan kebolehan masing-masing…
“Kita sama-sama memajukan dan membangunkan negeri Sabah selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” Katanya.
Turut hadir semasa Majlis tersebut ialah Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat; Datuk Julita Mojungki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Pentadbiran);Datuk Hajah Masnah Matsalleh, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat; Lee Chun Khiong dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah; Rusnah Kuyung.