Helikopter Baharu Milik TLDM Bantu Perkasakan Pemantauan Keselamatan Di Perairan Sabah

Helikopter Baharu Milik TLDM Bantu Perkasakan Pemantauan Keselamatan Di Perairan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pemantauan keselamatan di perairan Sabah kini dapat diperkasakan dengan kehadiran helikopter jenis AS 555 SN Fennec milik TLDM yang akan beroperasi di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) Teluk Sepangar.

Helikopter ini telah tiba di PTKK dari Markas Pemerintahan Armada Barat pada 7 Mac 21 dengan menggunakan kapal TLDM iaitu Kapal Diraja (KD) MAHAWANGSA.

Menurut Panglima Armada Timur Laksamana Madya Dato’ Sabri bin Zali, penggunaan aset udara seperti helikopter sangat efisien dalam mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang melalui jalan laut, penyeludupan barangan asas dan pencerobohan nelayan asing ke perairan negeri Sabah.

“Ini kerana helikopter Fennec boleh diatur gerak dengan cepat melalui pangkalan dan kapal-kapal TLDM yang sedang melaksanakan operasi terutama Ops Benteng…

“Helikopter ini akan turut membantu mempertingkatkan keupayaan armada kapal-kapal TLDM melalui latihan bersama pesawat seperti Deck Landing Training (DLT), Winching Exercise (Winchex), Naval Gun Fire Support (NGS) Spotter dan lain-lain lagi,” beliau berkata.

Tambahnya lagi helikopter Fennec juga akan digunakan untuk latihan dan operasi bersama Pasukan Khas Laut (PASKAL).

Panglima Armada Timur, YBhg Laksdya Dato’ Sabri bin Zali hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada Pegawai Memerintah Skuadron 502 yang mengoperasikan helikopter Fennec, Komander Fairul bin Mohd Shukor TLDM di pejabat beliau di Teluk Sepangar.

Komander Fairul juga turut berjanji akan memastikan kesiapsiagaan helikopter ke tahap optimum sepanjang penugasan di Sabah.