KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Perikanan Sabah mengadakan mesyuarat bersama Gabungan Persatuan Perikanan dan Kapal Nelayan Sabah (SUFFBA) di Wisma Pertanian Sabah pada Khamis.
Pengarah Perikanan Sabah, Azhar Kassim berkata mesyuarat dua hala tersebut yang julung kali diadakan itu merupakan platform terbaik untuk mendengar cadangan dan pendapat, di samping dapat merapatkan lagi hubungan bersama.
“Melalui perjumpaan ini juga mampu merapatkan hubungan baik antara jabatan dan pihak pemain industri khususnya para Pengusaha Perikanan Tangkap seluruh sabah yang diwakili oleh persatuan sebagai penyumbang bekalan makanan dan ekonomi.
“Seterusnya, kami juga dapat mendengar isu-isu semasa atau keluhan yang mungkin dihadapi oleh para pengusaha berkenaan suasana atau scenario keadaan aktiviti menangkap ikan kerana dari semasa ke semasa jabatan akan mengeluarkan peraturan yang baru.
“Pihak jabatan juga dapat mendengar pandangan dan cadangan dari pihak pengusaha perikanan tangkap kepada kerajaan khususnya jabatan perikanan bagi meningkatkan efisiensi dan juga kebaikan industri masa depan.
“Di samping itu, pihak jabatan dapat menyampaikan terus dasar-dasar atau peraturan baru dari pihak Jabatan Perikanan Negeri, Persekutuan mahupun dasar-dasar semasa antarabangsa,” katanya kepada media selepas mengadakan Mesyuarat bersama SUFFBA.
Gabungan Persatuan Perikanan dan Kapal Nelayan Sabah (SUFFBA) terdiri daripada enam persatuan iaitu Persatuan Pemilik Kapal Nelayan Kota Kinabalu, Persatuan Pemilik Kapal Nelayan Kudat, Persatuan Perikanan Sandakan, Persatuan Perikanan Tong Kang Sandakan, Persatuan Perikanan Tawau dan Persatuan Usahawan Perikanan Tawau dan mesyuarat turut dihadiri oleh Persatuan Pemilik Kapal Komersial Wilayah Persekutuan Labuan. — JABATAN PENERANGAN SABAH






