KOTA KINABALU: Kelewatan pembayaran pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat dalam projek Lebuhraya Pan Borneo perlu diselesaikan segera dan tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa alasan munasabah.
Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, pejabatnya menerima beberapa aduan daripada pemilik tanah berhubung kelewatan pembayaran pampasan bagi tanah yang diambil untuk pelaksanaan projek berkenaan.
Susulan aduan itu, beliau mengadakan perbincangan dengan wakil Jabatan Tanah dan Ukur bagi mengenal pasti punca kelewatan, menyelesaikan kes tertunggak serta menentukan langkah mempercepat proses pembayaran.
“Saya menegaskan bahawa kelewatan pembayaran pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat perlu diberi perhatian serius dan tidak seharusnya dibiarkan berlarutan tanpa sebab yang munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salleh berkata, Lebuhraya Pan Borneo merupakan projek pembangunan penting bagi Sabah, namun hak dan kepentingan pemilik tanah yang terjejas tidak boleh diketepikan.
“Mereka yang layak menerima pampasan tidak seharusnya menunggu lebih lama daripada yang diperlukan.
“Keutamaan adalah untuk memastikan isu yang masih tertunggak ditangani dengan segera dan proses pembayaran pampasan dilaksanakan secara cekap, adil serta tanpa kelewatan yang tidak perlu,” katanya.






