KOTA KINABALU: Berdepan cabaran cuaca sejuk dan format pertandingan yang berbeza daripada kebiasaan di Malaysia tidak menghalang atlet memanah tradisional Sabah, Surianti Umar, 42, daripada meraih pingat gangsa pada Kejohanan Memanah Tradisional Dunia (WTAF) di Ulsan, Korea Selatan, baru-baru ini.
Pegawai penjara dari Tanjung Batu Darat, Tawau itu mengharumkan nama negara selepas menewaskan peserta Kazakhstan dalam penentuan tempat ketiga pada kejohanan yang disertai lebih 45 negara.
Surianti yang mewakili Persatuan Memanah Tradisional Daerah Tawau (PERMATA) berkata, kejayaan itu amat bermakna memandangkan beliau baru tiga tahun berkecimpung dalam sukan berkenaan.
“Cabaran memang sukar kerana format pertandingan ini bukan seperti yang biasa digunakan di Malaysia. Kita juga perlu menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk berbanding cuaca panas di Malaysia.
“Ini kali pertama saya menyertai kejohanan besar seperti ini dan tidak menyangka mampu membawa pulang pingat untuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kepulangannya disambut Menteri Pembangunan Belia Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.
Menurut Surianti, pengalaman menyertai pertandingan di Korea Selatan tahun lalu menjadi pendorong untuk kembali mencuba sehingga berjaya meraih pingat kali ini.
Katanya, beliau kini menyasarkan penyertaan dalam kejohanan antarabangsa di Turki sebelum kembali beraksi di Korea Selatan tahun depan.
Sementara itu, Nizam menyifatkan kejayaan Surianti sebagai pencapaian membanggakan yang wajar dijadikan inspirasi kepada atlet muda Sabah.
“Walaupun meraih tempat ketiga, ia satu pencapaian terbaik kerana kejohanan ini disertai lebih 45 negara dari seluruh dunia.
“Tidak ada yang mustahil untuk anak-anak Sabah berjaya. Yang penting mereka mesti fokus, berdisiplin dan sentiasa menjalani latihan,” katanya.
Nizam turut mengumumkan insentif tunai RM5,000 kepada Surianti sebagai penghargaan atas kejayaannya membawa pulang pingat gangsa berkenaan.
Beliau berharap insentif itu dapat menyuntik semangat atlet terbabit untuk terus meningkatkan prestasi dan mencipta lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.






