KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menerusi Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif menaja sepenuhnya Program Youth Exchange 2026 – Perintis Muda Go Global ke Korea Selatan yang melibatkan 35 anggota delegasi.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, delegasi itu terdiri daripada wakil Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS), Jabatan Pendidikan Sabah, NGO Etnik Kreatif serta pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurutnya, program yang berlangsung dari 8 hingga 14 November ini bertujuan memberi pendedahan antarabangsa kepada golongan belia, khususnya dalam bidang pendidikan, teknologi, inovasi dan pembangunan kepimpinan.
“Anak muda masa kini merupakan aset masa hadapan Sabah. Melalui program ini, mereka berpeluang menimba ilmu, pengalaman serta mempelajari budaya kerja di Korea Selatan yang terkenal dengan kemajuan teknologinya.
“Kita berharap segala pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk menyumbang kepada pembangunan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Simbolik Pelepasan Delegasi Program Youth Exchange 2026 – Perintis Muda Go Global ke Republik Korea, di sini, hari ini.
Nizam berkata, program berkenaan turut memberi ruang kepada mahasiswa Sabah untuk mengetengahkan pembentangan akademik dalam tiga bidang utama iaitu kelestarian alam sekitar dan inovasi ekonomi biru, komuniti pintar dan inovasi digital serta inovasi pertanian dan keselamatan makanan.
Katanya, inisiatif itu selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan berpengetahuan, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada kemajuan negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya akan terus menyokong Program Perintis Muda Go Global yang dilaksanakan sejak 2023 bagi memperluas peluang pembangunan bakat dan pendedahan antarabangsa kepada belia Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UMS, IKEBS dan Majlis Belia Sabah atas kerjasama menjayakan program berkenaan.






