Tiga Kejuaraan Dalam Empat Edisi, Sabah Kukuhkan Dominasi Bola Sepak Wanita Negara

Tiga Kejuaraan Dalam Empat Edisi, Sabah Kukuhkan Dominasi Bola Sepak Wanita Negara

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kejayaan merangkul tiga kejuaraan daripada empat edisi Liga Wanita Malaysia membuktikan dominasi pasukan bola sepak wanita Sabah yang terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kuasa utama sukan berkenaan di peringkat kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Muhd Arziz Afizy Rumsani berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen dan pengorbanan pemain serta barisan pengurusan dalam memastikan Sabah terus cemerlang.

“Sepanjang empat edisi Liga Wanita, kita sudah menjadi juara tiga kali. Ini bermaksud kita adalah kuasa besar bola sepak wanita di Malaysia.

“Sebagai rakyat Sabah, kita patut berbangga dengan pasukan ini yang telah banyak berkorban dan bekerja keras untuk mengharumkan nama negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Insentif Kemenangan Liga Wanita Malaysia yang disampaikan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Pada majlis itu, Kerajaan Negeri turut mencipta sejarah apabila buat pertama kali menyalurkan insentif kemenangan sebanyak RM100,000 kepada pasukan bola sepak wanita Sabah.

Sementara itu, Nizam berkata, pemberian insentif berkenaan mencerminkan pengiktirafan dan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan bola sepak wanita.

“Yang paling penting bukan nilai RM100,000 itu, tetapi kesungguhan dan sokongan kerajaan serta Ketua Menteri terhadap pasukan wanita Sabah yang telah berusaha sehingga mencapai kejayaan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan itu turut membuktikan pembangunan ekosistem bola sepak wanita Sabah berada pada landasan tepat, namun usaha penambahbaikan perlu diteruskan bagi meningkatkan daya saing pasukan.

Beliau turut mengalu-alukan perkembangan tujuh pemain wanita Sabah yang menerima panggilan menyertai skuad senior kebangsaan.

Dalam pada itu, Nizam berharap pasukan Sabah terus meningkatkan prestasi dan mampu mencatat keputusan lebih baik pada kejohanan peringkat Asia tahun depan selepas tersingkir di peringkat kumpulan tahun ini.

Katanya, disiplin, latihan berterusan dan komitmen tinggi pemain menjadi kunci untuk memastikan Sabah terus mencipta kejayaan di pentas domestik serta antarabangsa.