Penguatkuasaan Semata-mata Tidak Cukup Banteras Dadah – Rubin

Penguatkuasaan Semata-mata Tidak Cukup Banteras Dadah – Rubin

0
SHARE

TENOM: Penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak mencukupi untuk membanteras penyalahgunaan dadah, sebaliknya perlu disokong pendidikan pencegahan berterusan dan penglibatan aktif masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang berkata, pendekatan menyeluruh itu penting bagi membendung ancaman dadah yang bukan sahaja merosakkan kesihatan, malah menggugat institusi keluarga, keselamatan komuniti dan masa depan generasi muda.

“Penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak memadai, sebaliknya mesti dipacu oleh pendidikan pencegahan holistik dan berterusan agar masyarakat memiliki daya tahan diri yang ampuh untuk menolak najis dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Terbuka Daerah Kecil Kemabong, di sini, hari ini.

Rubin berkata, gerakan antidadah di kawasan pedalaman perlu dipergiat menerusi kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pemimpin masyarakat, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pertubuhan belia.

Katanya, masyarakat luar bandar juga perlu mengetahui saluran bantuan serta berani melaporkan ancaman dadah di persekitaran mereka.

Dalam masa sama, beliau menegaskan usaha membanteras dadah perlu diseimbangkan dengan sokongan pemulihan tanpa meminggirkan individu yang berusaha membebaskan diri daripada ketagihan.

“Jangan kita sisihkan atau memandang serong kepada saudara-mara kita yang sedang berusaha untuk pulih. Berikan mereka sokongan moral, bimbingan dan peluang kedua,” katanya.

Beliau turut menyifatkan penganjuran Konvoi SKUAD Antidadah Dua Roda @Tenom sebagai pendekatan kreatif mendekati golongan belia melalui aktiviti yang dekat dengan minat mereka.