KOTA KINABALU, SABAH – Beberapa agensi yang terlibat digesa merancak dan menyebarluaskan pemakluman jenayah scam di media sosial.
Bercakap kepada media selepas merasmikan Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah semalam, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata usaha tersebut bagi meningkatkan kesedaran seluruh lapisan masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian seperti phone scam, love scam, pinjaman tidak wujud, pelaburan, belian online dan sebagainya.
“Penting untuk kita teruskan dengan jelajah anti-scam kebangsaan ini kerana kita lihat masalah scam masih berleluasa dan ramai yang terus menjadi mangsa.
“Oleh itu, saya juga telah meminta beberapa agensi atau badan terlibat dengan jelajah anti-scam kebangsaan untuk merancakkan, membuat pemakluman masalah scam ini di media sosial.
“Bukan secara fizikal sahaja melalui jelajah tetapi juga memuat naik content yang dapat kita sebar luaskan dan memandangkan scammer mencari modus operandi yang baharu.
“Jadi saya harap, program kita hari ini dapat memberi manfaat bukan hanya kepada para pelajar di UMS tetapi juga lebih dari itu dan ada beberapa perkara kita akan kerjasama dengan pejabat ketua menteri dan timbalan-timbalan ketua menteri untuk pastikan lebih ramai selamat di sabah daripada masalah scam,” jelas beliau.
Mengenai kes penipuan scam masih tinggi dan Sabah menjadi negeri keempat pelaksanaan jelajah tersebut, Fahmi mencadangkan agar simulasi phising scams diadakan dan pihaknya akan berbincang dengan beberapa pihak di dalam gabungan anti-scam (GBS) dalam masa terdekat.
“Antara isunya adalah apabila kita bercakap tentang satu bentuk scam, mungkin minggu depan atau petang ini…kalau sekarang ini kita sebut, mungkin petang ini direncana scam yang baharu.
“Ini antara kekangan kerana mereka terlalu kreatif, penjenayah yang sangat kreatif jadi kita sedang teliti dari beberapa aspek.
“Saya berpandangan untuk bergantung harap kepada jelajah sahaja belum mencukupi, usaha boleh dirancakkan dengan beberapa cara lain,” ujar beliau.
Terdahulu, Fahmi dalam ucapannya mengingatkan masyarakat agar memanfaatkan inisiatif kerajaan dalam mengekang insiden penipuan scammer menerusi Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scams Response Centre – NSRC) yang di talian 997.
Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis (IPK) Sabah, bagi tempoh tahun 2020 hingga September 2023, sebanyak 4,687 kes dilaporkan yang melibatkan jenis kesalahan seperti phone scam, love scam, pinjaman tidak wujud, pelaburan, belian online dan akta jenayah komputer yang menyebabkan kerugian sebanyak RM100,087,125.10. — JABATAN PENERANGAN SABAH