Lelaki Rempuh Orang Awam Selepas Bergaduh Bersama Isteri

Lelaki Rempuh Orang Awam Selepas Bergaduh Bersama Isteri

0
SHARE
Kemalangan
Tangkap layar video pemandu Honda Civic merempuh penunggang motosikal selepas bergaduh dengan isteri ( Sumber Foto: Tangkap layar video tular )

RAWANG, SELANGOR – Seorang lelaki yang memandu kereta jenis Honda Civic berwarna hitam bertindak merempuh orang awam ketika ingin melarikan diri selepas terbabit dalam pertelingkahan bersama isterinya.

Memetik sumber Kosmo! Online, insiden berkenaan dipercayai berlaku di sekitar Jalan Tun Teja 3, Taman Tun Teja, di sini, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohammad Nasir berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 18 saat itu di laman sosial hari ini.

Katanya, menerusi klip video itu pemandu terbabit dilihat merempuh sebuah motosikal Yamaha Ego dan melarikan diri dari tempat kejadian.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang.

“Kejadian berlaku semasa suspek hendak melarikan diri daripada isterinya selepas berlaku pertengkaran diantara mereka.

“Mangsa (penunggang motosikal) yang pada masa itu berada di tempat kejadian telah cuba menghalang suspek namun dirempuh sehingga mengalami kecederaan pada siku dan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.