
KOTA KINABALU, SABAH – Lima Rang Undang-Undang diluluskan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang Keenam Belas, pada Khamis.
RUU tersebut ialah RUU Perbekalan (2024) 2023, RUU Fatwa (Pindaan) 2023, RUU Mahkamah Syariah (Pindaan) 2023, RUU Yuran (Pindaan) 2023 dan RUU Pentadbiran Luar Bandar (Pindaan) 2023.
RUU Perbekalan (2024) 2023 yang dibentang oleh Menteri Kewangan Datuk Masidi Manjun diluluskan selepas bacaan kali pertama, kedua dan ketiga yang dikendalikan oleh Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M. Yahya.
Manakala, RUU Fatwa (Pindaan) 2023 dan RUU Mahkamah Syariah (Pindaan) 2023 yang dibentang oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif diluluskan selepas bacaan ketiga melibatkan tiga pembahas iaitu ADUN Bugaya, Jamil Datuk Hamzah, ADUN Dilantik, Aliakbar Gulasan dan ADUN Kukusan, Rina Jainal, sesi tersebut dikendalikan oleh Timbalan Speaker, Datuk Richard Yong Ke Wong.
Selain itu, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir pula membentangkan RUU Yuran (Pindaan) 2023 dibahas oleh ADUN Dilantik, Datuk Yong Teck Lee sebelum diluluskan oleh Timbalan Speaker, Datuk Richard Yong Ke Wong.
Bagi RUU berkaitan Pentadbiran Luar Bandar (Pindaan) 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim diluluskan selepas bacaan ketiga melibatkan lima pembahas iaitu ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob, ADUN Usukan, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said, ADUN Tungku, Assaffal P Alian, ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang dan ADUN Bugaya, Jamil Datuk Hamzah.
Hari terakhir sidang DUN Sabah turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan. — JABATAN PENERANGAN SABAH