KINABATANGAN: Gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 melanda beberapa kawasan di daerah ini pada jam 5.32 pagi Sabtu, namun pemeriksaan susulan pasukan bomba di beberapa lokasi sekitar daerah ini mendapati tiada kerosakan struktur bangunan atau kejadian runtuhan dilaporkan.
Gempa pada kedalaman 118 kilometer itu berpusat pada koordinat 5.1 darjah Utara dan 116.8 darjah Timur, kira-kira 34 kilometer barat daya Tongod, Sabah, serta 223 kilometer barat laut Tarakan, Indonesia.
Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Suriyadi Drawis berkata, enam anggota dikerahkan menjalankan rondaan dan pemantauan selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.21 pagi.
Menurutnya, pasukan diketuai Komander Operasi, PBK I Jasmani Osni tiba di lokasi pada jam 6.26 pagi.
“Rondaan melibatkan pemeriksaan di Sedco Kinabatangan, Perpustakaan Bukit Garam dan Bukit Garam Point serta kawasan yang dikenal pasti berisiko.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada kerosakan struktur pada bangunan yang diperiksa dan tiada kejadian runtuhan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Suriyadi berkata, tiada mangsa dilaporkan dalam operasi berkenaan.
Katanya, pasukan bomba turut memberikan nasihat keselamatan kepada penduduk supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan gegaran susulan.
“Penduduk dinasihatkan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kerosakan atau kecemasan,” katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 7 pagi selepas pemeriksaan dan rondaan selesai serta keadaan di lokasi didapati selamat dan terkawal.






