KUALA LUMPUR: Pendedahan berlebihan kepada gajet seperti telefon pintar, iPad dan televisyen bukan sekadar hobi biasa, sebaliknya menjadi ‘racun senyap’ yang membinasakan perkembangan minda serta fizikal kanak-kanak!
Mana tidaknya, ketagihan gajet kini berada pada tahap membimbangkan apabila kanak-kanak memperuntukkan purata empat jam sehari pada hari persekolahan dan mencecah hingga enam jam pada hujung minggu semata-mata menghadap skrin.
Pengarah Holista Biotech Sdn Bhd, Datuk Dr Rajen Manicka mendedahkan, pancaran cahaya biru (blue light) daripada skrin peranti digital berisiko tinggi merosakkan organ penglihatan, mengganggu sistem tidur, selain terbukti boleh mengecutkan sel-sel otak anak-anak yang jarang digunakan.
“Apabila kanak-kanak kerap menatap skrin terutamanya pada waktu malam, tidur mereka tidak akan nyenyak dan sering diserang mimpi ngeri. Kesannya, proses pembaikan dan pembinaan otak mereka terganggu.
“Lebih menakutkan, kajian di Eropah menunjukkan bahagian otak yang tidak digunakan akibat terperap di hadapan skrin boleh mula mengecut, terutamanya pada enam tahun pertama usia kanak-kanak.
“Ramai ibu bapa ambil jalan mudah bagi gajet sebab nak bagi anak senyap. Akibatnya anak-anak ketagih dan merana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kempen “Screen-Free Futures: Protecting Malaysia’s Children” anjuran Holista Biotech Sdn Bhd di sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Penasihat dan Rakan Kongsi Kempen Kebangsaan Bebas Skrin, Tan Sri Dato’ Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah; Pengerusi Holista, Lai Kwok Kin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Holista, Leong Man Loong; Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Sivanaesan Letchumanan; dan Presiden Persatuan Kesihatan Integratif Malaysia, Prof Dr Selvam.
Hadir sama, CEO Halagel M Sdn Bhd, Ahmad Mokhzani Ahmad Rodzi; Pengarah Urusan Zuellig Pharma (Malaysia, Singapura & Brunei), Louis-Georges Lassonnery; Pengarah Dagangan Watsons Malaysia, Hwei Jiek; Ketua Bahagian Kesihatan Watsons Malaysia, KC Liew; Pengurus Pusat Avenue K Shopping Mall, Rachel Er; serta Pengetua Tadika Graceful Hand, Paggie Yan.
Dr Rajen turut meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak masalah rabun jauh (myopia), katarak serta glaukoma di usia muda disebabkan pendedahan tegar cahaya biru.
“Jika dulu era 60-an hanya seorang dua budak pakai cermin mata, kini di darjah satu sahaja satu per tiga murid sudah berkuasa mata tinggi.
“Panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) jelas menetapkan kanak-kanak bawah dua tahun langsung tidak boleh diberi gajet, manakala umur dua hingga lima tahun pula dihadkan maksimum satu jam sehari.
“Ibu bapa perlu bertegas di rumah, hadkan gajet dan bawa anak-anak keluar berinteraksi, bermain di padang serta makan bersama tanpa membiarkan mereka menatap skrin,” tegasnya.






