DUN Melaka Rasmi Bubar Hari Ini

DUN Melaka Rasmi Bubar Hari Ini

0
SHARE

MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 secara rasmi telah dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.

Memetik laporan Utusan Malaysia, pengumuman pembubaran itu dibuat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh selepas beliau mempengerusikan mesyuarat terakhir Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Auditorium Seri Negeri, semalam.

Penggal DUN Melaka Ke-15 sepatutnya berakhir pada 27 Disember ini selepas dibentuk kira-kira empat tahun sembilan bulan lalu.

Ab. Rauf berkata, beliau menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam pada Ahad lalu bagi mengemukakan cadangan pembubaran DUN dan mendapat perkenan.

Menurutnya, pembubaran berkuat kuasa 23 September 2026 itu menamatkan penggal DUN Melaka Ke-15.

Perhatian kini beralih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

PRN Melaka mungkin diadakan pada pertengahan Oktober atau selewat-lewatnya 23 November, iaitu dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

Ab. Rauf memberi jaminan bahawa pembubaran DUN tidak akan menjejaskan urusan pentadbiran negeri, dengan kerajaan negeri terus berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas pilihan raya.

“Pentadbiran Negeri Melaka, penyampaian perkhidmatan awam, urusan kebajikan rakyat, keselamatan serta perkhidmatan harian kerajaan terus berjalan seperti biasa.

Dalam tempoh tersebut, keutamaan kita adalah memastikan pentadbiran negeri kekal teratur, perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu dan kepentingan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Ab. Rauf turut menyerahkan Warkah Pembubaran DUN Melaka kepada Pengarah SPR Melaka, Rudy Rohan Johan, semalam.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Mohd. Ali atas perkenan pembubaran DUN, selain menghargai kerjasama semua ahli MMKN, wakil rakyat serta agensi kerajaan sepanjang tempoh pentadbirannya.

“Kalau tanya saya, saya amat berpuas hati dengan semua wakil rakyat yang telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Melaka dalam konsep ‘Melaka Sayang Rakyat’,” katanya.

Mengenai calon PRN, Ab. Rauf enggan menyatakan sama ada wakil rakyat sedia ada akan dikekalkan atau digantikan dengan muka baharu kerana keputusan itu memerlukan pertimbangan pelbagai faktor.

“Tak bolehlah hari ini saya nak beritahu, hari ini saya bubar, hari ini saya nak beritahu siapa calon. Tak bolehlah, tak adillah pada saya,” katanya.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) Melaka juga belum memuktamadkan sama ada akan bergerak secara solo atau bekerjasama dengan parti lain pada PRN kali ini.

“Kita selesaikan ini dulu lah (pembubaran DUN). Selepas itu nanti baru kita cerita pasal parti, mana hala tuju kita.

“Saya pastinya akan ada rundingan-rundingan dengan mana-mana parti yang terlibat dan kita nak menguruskan negeri ini untuk rakyat Melaka, demi rakyat, untuk rakyat,” katanya.

SPR akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan tarikh PRN Melaka selepas menerima pemakluman mengenai pembubaran DUN.