KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lima negeri termasuk Sabah hingga jam 9 malam ini.
Di Sabah, kawasan yang terlibat ialah Kota Belud dan Tuaran di Pantai Barat; Kota Marudu di Kudat; serta Sipitang dan Pensiangan di Pedalaman.
Amaran yang dikeluarkan pada jam 6 petang Khamis itu turut meliputi beberapa daerah di Kelantan, Pahang dan Johor, selain Sarawak.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” menurut MetMalaysia.
MetMalaysia menjelaskan amaran ribut petir itu bersifat jangka pendek dan sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.






