KPSTI Rancang Pasang Solar di 24 Perpustakaan Seluruh Sabah – James

KPSTI Rancang Pasang Solar di 24 Perpustakaan Seluruh Sabah – James

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) merancang memasang sistem solar di 24 perpustakaan di bawah kementerian itu sebagai sebahagian daripada inisiatif mengurangkan penggunaan elektrik di bangunan kerajaan.

Menterinya, Datuk James Ratib berkata, pemasangan solar turut ditawarkan kepada kementerian dan jabatan kerajaan lain yang berminat, namun pelaksanaannya bukan satu kewajipan.

“Contohnya, perpustakaan di bawah kementerian saya. Saya akan memasang solar di 24 perpustakaan. Ini boleh menjimatkan kos lebih kurang 10 peratus,” katanya selepas Majlis Penyerahan Smart TV dan Pembentangan Inisiatif Papan Iklan Digital serta Sistem Solar Bangunan Kerajaan Negeri Sabah, di sini, baru-baru ini.

James berkata, pelaksanaan inisiatif itu dijangka bermula Oktober ini selepas urusan terperinci diselesaikan.

Bagaimanapun, jumlah bangunan kerajaan yang akan menggunakan sistem berkenaan bergantung kepada persetujuan kementerian dan jabatan masing-masing.

“Kita akan berbincang dengan mereka sama ada mereka bersetuju untuk memasang solar pada bangunan mereka. Ini bukan satu kewajipan,” katanya.

Pada majlis sama, KPSTI turut menyerahkan Smart TV bersaiz 55 inci kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) untuk diagihkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah pentadbirannya.

James berkata, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan KKTP dan PBT bagi menyediakan papan iklan digital di lokasi strategik yang akan dikenal pasti bersama.

Urusan pelesenannya akan dikendalikan oleh PBT, manakala bilangan papan iklan masih belum ditentukan.

Menurutnya, inisiatif itu berpotensi menambah hasil PBT serta menyediakan peluang latihan dan pekerjaan kepada golongan asnaf dan B40 untuk mengendalikan sistem berkenaan.