KOTA KINABALU: Perjalanan Smart Bike Sdn Bhd daripada sebuah bengkel kecil pada 2015 kini mencipta sejarah apabila melancarkan cawangan ke-11 yang juga merupakan stor utama AVETA pertama di Malaysia, iaitu AVETA Elite Centre di Kota Kinabalu.
Presiden Dewan Perniagaan Malaysia–China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau berkata, kejayaan Smart Bike membuktikan kepentingan perancangan strategik dan pasukan yang berdedikasi.
“Dalam tempoh kurang sedekad, syarikat ini berkembang pesat ke seluruh Sabah dan menjana jualan melebihi RM39 juta pada tahun 2024.
“Pencapaian ini bukan sahaja kejayaan syarikat, tetapi turut mewujudkan peluang pkerjaan untuk belia serta merancakkan ekonomi negeri,” katanya.
Syarikat kini memiliki 11 cawangan dengan lebih 100 kakitangan dan merancang membuka cawangan baharu di Tawau, Telupid, Pitas dan Beaufort.
Pengarah Urusan AVETA, Steven Lim, menjelaskan pemilihan Sabah sebagai lokasi stor utama pertama adalah kerana negeri ini merupakan pasaran terbesar AVETA.
Elite Centre ini menggabungkan jualan, perkhidmatan selepas jualan dan pengalaman pelanggan, termasuk model eksklusif seperti edisi khas Ranger Max.
“Kita bukan sekadar membuka stor, tetapi memulakan bab baharu dalam inovasi dan kecemerlangan AVETA,” katanya.
Pengarah Jualan dan Pemasaran Smart Bike, Jordan Chang, menegaskan kejayaan ini hasil kerja keras dan sokongan semua pihak sejak perancangan perluasan syarikat pada 2021.
“Kita boleh berpura-pura, tapi keputusan tidak akan menipu. Usaha dan peluang tidak akan sia-sia,” katanya.
Majlis turut dihadiri wakil MCCC Sabah dan rakan strategik industri motosikal tempatan.






