Pendidikan Pelaburan Jangka Panjang Negara – Hendrus

Pendidikan Pelaburan Jangka Panjang Negara – Hendrus

0
SHARE
Hendrus
Hendrus (berjubah merah, tengah) pada program Hari Apresiasi Tabika dan Taska KEMAS Kota Marudu ( Sumber Foto: Ihsan Pejabat ADUN Tandek )

KOTA MARUDU, SABAH – Pendidikan adalah suatu bentuk pelaburan jangka panjang bagi memastikan negara mempunyai pelapis kepemimpinan berkaliber pada masa hadapan, selain dapat membentuk masyarakat yang berilmu, berintegriti dan berkualiti.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah I, Hendrus Anding (JP) berkata, walaupun pada dasarnya ‘pelaburan’ itu melibatkan wang ringgit yang banyak khususnya ibu bapa namun, ia adalah aset ‘pelaburan’ yang tidak merugikan malah akan membawa nilai yang tinggi di masa akan datang.

Jelasnya, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memberi pendidikan awal kepada anak-anak agar keperibadian mereka dapat dibentuk menjadi seorang insan yang boleh berjasa kepada keluarga, komuniti dan negara.

Selain itu katanya, ibu bapa perlu mengambil perhatian dengan kepesatan dunia digital yang berkembang pantas tanpa batas agar dapat mengawal pengguna gajet bagi menghindari pengaruh negatif di media sosial.

Disamping itu, katanya hala tuju aktiviti pembelajaran peringkat Tabika dan Taska KEMAS di seluruh negara telah disusun dan digubal agar lebih seronok dalam membantu perkembangan otak dan minda kanak-kanak.

“Penguasaan kanak-kanak tabika dan taska KEMAS dalam 3M iaitu membaca, menulis dan mengira dalam tempoh yang singkat dilihat sebagai suatu kelebihan.

“Justeru, tidak hairanlah jika ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka mengecapi pendidikan awal di situ,” jelasnya.

Hendrus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek itu berkata demikian semasa merasmikan program Hari Apresiasi Tabika dan Taska KEMAS Parlimen P.168 Kota Marudu Sesi 2022/2023 di Dewan Komuniti Kota Marudu, kelmarin.

Turut hadir, Pegawai KEMAS Daerah Kota Marudu Nazli Amilali dan Pengerusi Induk Hari Apresiasi, Laduing Pansipan.

Dalam pada itu Hendrus menuntut kerjasama ibu bapa dalam mendidik kanak-kanak di rumah, kerana tanggungjawab mendidik bukan terletak semata-mata kepada guru-guru yang mengajar anak-anak mereka di Tabika dan Taska KEMAS.

Menyentuh soal premis tabika dan taksa KEMAS yang daif, beliau memohon pegawai KEMAS daerah untuk berhubung dengan Setiausaha Pejabat ADUN Tandek untuk menilai premis yang perlu dibaiki mendesak dan perlu diberi keutamaan.