KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menghantar pasukan doktor, dan paramedik termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Turkiye bagi membentuk hospital medan di sana.
Menteri MINDEF, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pasukan terbabit telah bertolak dari Malaysia bagi membantu mangsa gempa bumi Turkiye di sana.
Katanya, pihaknya telah mendapat permohonan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selepas berunding dengan Kedutaan Besar Turkiye di Kuala Lumpur.
“Kita telah pun menggerakkan kor kesihatan ATM untuk menghantar sepasukan anggota bersama hospital medan yang mana kita hantar tiga unit bagi ‘level 1’ satu unit bagi ‘level 2’
“Bagi tingkat satu ini ada bilik kecemasan dan tingkat dua ada bilik bedah. Panglima Tentera Darat juga memaklumkan saya pihak Turkiye dan NADMA juga memohon agar kita menghantar 60 orang anggota mencari dan menyelamat kita untuk membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas sesi lawatan kerja beliau bertempat di Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) Kem Lok Kawi, di sini, semalam.
Disamping itu, Mohamad turut menjelaskan pasukan terbabit bersama hospital medan akan dihantar pihaknya dengan menggunakan Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Turkiye.
“Kita belum tahu kawasan mana yang mempunyai keperluan untuk kita pergi kerana kawasan yang terlibat itu terlalu luas.
“Oleh itu, kita serahkan kepada pihak negara Turkiye untuk meletakkan dimana kesesuaian anggota perubatan kita untuk membina dan mengurus hospital medan,” katanya.
Disamping itu, beliau menyatakan pihaknya menganggarkan pasukan doktor, paramedik dan anggota ATM yang bakal membentuk hospital medan adan berada di Turkiye selama enam minggu.
“Kita menganggarkan mereka berada disana dalam masa enam minggu untuk beroperasi. Maknanya kita ke sana seolah-olah ke medan perang, kita mesti bawa peralatan, bekalan dan sebagainya.
“Kita tidak boleh mengharapkan tuan rumah kerana tuan rumah dalam keadaan menghadapi malapetaka.
“Jadi, kita doakan supaya anggota kita yang menjalankan tugas membantu merawat yang cedera dan ditimpa kemalangan dalam keadaan selamat,” katanya.





