GRS Tidak Ada Sebab Jalin Kerjasama Dengan Parti Nasional

GRS Tidak Ada Sebab Jalin Kerjasama Dengan Parti Nasional

0
SHARE
Joniston
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai ( Sumber Foto: Gambar Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Mengambil kira keyakinan rakyat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan keserasiannya dengan Pakatan Harapan Sabah dalam mentadbir negeri, tidak ada sebab untuk gabungan parti tempatan itu menjalinkan kerjasama dengan parti lain yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia.

Ketus Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata pihaknya akan menumpukan usaha merealisasikan agenda Sabah Maju Jaya dalam membangunkan negeri dan menyatupadukan rakyat disamping terus memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada dengan PH Sabah.

“PH Sabah memilih untuk menyokong Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah apabila segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah berkomplot dengan Parti Warisan (WARISAN) untuk menumbangkan kerajaan pimpinannya pada awal tahun 2022.

“Keputusan PH Sabah menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri didorong oleh kebimbangan momentum membangunkan Sabah akan terganggu oleh keadaan politik tidak stabil akibat tindakan pihak tertentu yang mahu menggulingkan kerajaan sedia ada.

“GRS melihat hasrat parti BERSATU dan PEJUANG untuk berkerjasama merupakan tanda keyakinan kedua-dua parti itu terhadap keikhlasan dan kesungguhan GRS sebagai peneraju kerajaan negeri Sabah.

“Sebagai gabungan parti tempatan, GRS akan sentiasa berpandu kepada pandangan dan sentimen rakyat Sabah dalam membuat sebarang keputusan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya amat menghargai sambutan positif serta perasaan selesa majoriti rakyat Sabah terhadap kerajaan GRS-PH plus.

Dalam perkembangan lain, medis sebelum ini melaporkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata partinya akan meneliti sama ada akan berkerjasama dengan GRS dalam PRN ke-16 yang bakal diadakan tahun hadapan.

Sementara itu, Presiden Parti PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula dilaporkan sebagai berkata partinya berhasrat menjalinkan kerjasama dengan GRS menghadapi PRN kelak.