KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 33 pengunjung dan TIGA (3) pengusaha premis pusat hiburan di sekitar bandaraya dikenakan kompaun dalam operasi ‘Op Pematuhan’ yang dijalankan pihak polis semalam.
Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Zaidi Abdullah berkata sebuah pub di Austral Park dan Damai merangkumi keseluruhan pengeluaran kompaun daripada tujuh (7) premis yang telah diperiksa.
“Di Austral Park, pemilik premis didapati gagal memastikan penjarakan fizikal pelanggan selain pelanggan sendiri tidak mendaftar MySejahtera…
“Manakala di Damai, premis tersebut beroperasi melebihi masa yang dibenarkan dan tindakan juga diambil ke atas pelanggan yang masih berada di premis berkenaan,” katanya.
Beliau berkata dua (2) pasukan polis terdiri daripada 36 anggota dan pegawai telah memeriksa seramai 163 pelanggan dan 40 pekerja premis termasuk pemilik.
“Operasi menumpu kawasan sekitar Jalan Lintas dan Cyber Perdana di mana seramai 36 orang telah dikenakan kompaun kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 3, Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Walau bagaimanapun, Zaidi berkata secara keseluruhannya, rata-rata premis pusat hiburan dan pelanggan yang hadir didapati mematuhi SOP yang ditetapkan dalam operasi pemantaun yang berlangsung dari pukul 10.30 malam sehingga 2 pagi itu.