18 Mangsa Banjir Diselamatkan di Kg Sugiang Lama, Jalan Terputus Halang Pemindahan...

18 Mangsa Banjir Diselamatkan di Kg Sugiang Lama, Jalan Terputus Halang Pemindahan ke PPS

0
SHARE

TENOM: Seramai 18 mangsa daripada tiga keluarga berjaya diselamatkan dalam kejadian banjir yang melanda Kampung Sugiang Lama, Kemabong di sini, malam tadi.

Pusat Gerakan menerima panggilan kecemasan menerusi talian balai pada jam 9.51 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 29 kilometer dari balai.

Komander Operasi, PBK II Azri Bidin, melaporkan bahawa kebanyakan rumah dan laluan jalan raya di kampung berkenaan dinaiki air susulan hujan berterusan.

Seramai empat anggota bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda (VIGO) dan sebuah bot penyelamat dikerahkan ke lokasi, dengan ketibaan jentera pada jam 12.01 tengah malam. Operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa yang terjejas ke lokasi selamat. Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari rumah masing-masing sebelum dikumpulkan di Surau Kampung Bagiang Lama, manakala sebahagian daripada mereka dihantar ke rumah keluarga terdekat.

Bagaimanapun, usaha menghantar mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Ontoros Kemabong tidak dapat diteruskan apabila laluan di Jalan Kampung Kalamatoi tidak dapat dilalui akibat ditenggelami air.

Ketua BBP Tenom, PPgB Mudi Pengiran berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.10 pagi setelah semua mangsa berada dalam keadaan selamat.

“Kesemua 18 mangsa berjaya dipindahkan ke tempat selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Laluan utama yang terjejas menyukarkan pergerakan ke PPS, namun pasukan memastikan mangsa ditempatkan di lokasi selamat sementara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan bomba meneruskan pemantauan serta operasi penyelamatan di kawasan lain yang turut terjejas banjir.

Daripada 18 mangsa yang terlibat, tujuh adalah lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.

Orang ramai di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.