UMS Perkukuh Agenda Sains Negara Menerusi Syarahan Perdana Profesor Dr. Lay Yoon...

UMS Perkukuh Agenda Sains Negara Menerusi Syarahan Perdana Profesor Dr. Lay Yoon Fah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperteguh komitmen dalam memartabatkan pendidikan Sains negara menerusi penganjuran Majlis Syarahan Perdana oleh Profesor Dr. Lay Yoon Fah, anjuran Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), yang berlangsung di Dewan Bankuasi, Dewan Canselor UMS, baru-baru ini.

Syarahan bertajuk The Contributing Factors to Eighth Grade Students’ Science Achievement in TIMSS: A Comparative Study among Southeast and East Asian Countries itu membentangkan analisis komprehensif mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian Sains pelajar Tingkatan Dua Malaysia dalam pentaksiran antarabangsa Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), termasuk perbandingan dengan negara-negara Asia Tenggara dan Asia Timur.

Naib Canselor UMS, Datuk Kasim Mansor berkata, syarahan perdana merupakan tradisi intelektual universiti yang mencerminkan budaya ilmu serta penghormatan institusi terhadap kecemerlangan akademik.

“Platform ini memberi ruang kepada sarjana untuk berkongsi dapatan penyelidikan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti akademik, malah dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan pembuat dasar dalam merangka pembangunan negara.

“Penguasaan Sains dan teknologi dalam kalangan pelajar Malaysia perlu terus diperkasa memandangkan pencapaian negara dalam TIMSS masih belum setanding dengan beberapa negara Asia Timur,” katanya.

Sementara itu, Profesor Dr. Lay Yoon Fah dalam syarahannya menjelaskan bahawa pencapaian Sains pelajar dipengaruhi oleh pelbagai dimensi termasuk sokongan persekitaran rumah, komposisi dan sumber sekolah, serta iklim dan keselamatan sekolah.

“Faktor persediaan pengetua dan guru, kaedah pengajaran di bilik darjah serta tahap penglibatan dan sikap pelajar terhadap Sains merupakan penyumbang signifikan terhadap prestasi pelajar dalam TIMSS,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kajian tersebut membandingkan pencapaian Malaysia dengan negara Asia Tenggara seperti Singapura dan Thailand, selain negara Asia Timur termasuk Jepun, Korea, Hong Kong dan Chinese Taipei.

Menurutnya, analisis data sekunder TIMSS dilaksanakan menggunakan pendekatan Partial Least Squares Structural Equation Modeling (PLS-SEM) bagi mendapatkan pemahaman lebih mendalam terhadap kesan faktor di peringkat pelajar.

“Dapatan kajian ini merumuskan cadangan dasar jangka pendek dan jangka panjang dengan mengambil kira amalan terbaik sistem pendidikan berprestasi tinggi di rantau Asia.

“Sejak penyertaan Malaysia dalam TIMSS pada tahun 1995, pencapaian negara masih ketinggalan berbanding negara Asia Timur. Justeru, pendekatan kolaboratif antara kementerian, sekolah, keluarga dan pelajar amat diperlukan bagi memperkukuh prestasi negara pada masa hadapan,” ujarnya.