KOTA KINABALU: Tiga daerah di Sabah iaitu Sook, Sipitang dan Beaufort hari ini diisytiharkan dilanda bencana banjir susulan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
Di Sook, bencana banjir diisytiharkan pada jam 4.30 pagi, 25 Februari 2026 oleh Pegawai Daerah Sook merangkap Pengerusi JPBD Sook, Caroline Benjamin Jiungan. Pengisytiharan itu dibuat berdasarkan laporan rasmi agensi terlibat seperti yang dinyatakan dalam dokumen Pengisytiharan Bencana JPBD.
Dokumen berkenaan menyatakan bencana banjir berlaku pada tarikh 25/02/2026, jam 4.30 pagi di daerah Sook dan diisytiharkan secara rasmi oleh Pegawai Daerah selaku Pengerusi JPBD.
Sementara itu di Sipitang, Pegawai Daerah Sipitang merangkap Pengerusi JPBD Sipitang, Abd Karim A. M Zahari, mengisytiharkan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan SK Padang Berampah berkuat kuasa jam 8.30 pagi, hari ini.
Menurut beliau, PPS berkenaan diaktifkan selepas pemeriksaan mendapati kawasan dan rumah Penduduk Terjejas Bencana (PTB) tidak lagi selamat untuk didiami susulan keadaan banjir yang melanda.
Di Beaufort, Pegawai Daerah Beaufort merangkap Pengerusi JPBD Beaufort, Mohd Nazri Ajun, turut mengisytiharkan berlakunya bencana banjir pada jam 8.00 pagi berdasarkan laporan serta maklumat lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD daerah berkenaan.
Pengisytiharan tersebut melibatkan jenis bencana banjir yang berlaku di daerah Beaufort dan mengaktifkan gerak kerja penyelarasan bantuan serta pemantauan oleh agensi berkaitan.
Ketiga-tiga pengisytiharan ini membolehkan semua agensi keselamatan dan penyelamat, termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba, polis serta jabatan kebajikan, menggerakkan operasi pemindahan, pemantauan dan bantuan kepada mangsa yang terjejas.
Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan bersedia untuk berpindah ke PPS sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.






