KOTA KINABALU: Seramai 1,670 peserta daripada 167 premis di seluruh Sabah menyertai Latihan Pemantapan Kecekapan Emergency Response Team (ERT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah Tahun 2026, sekali gus memperkukuh tahap kesiapsiagaan kebakaran dan keupayaan respons awal kecemasan di negeri ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penyertaan yang memberangsangkan itu membuktikan komitmen tinggi sektor perindustrian, perkhidmatan dan organisasi dalam memastikan aspek keselamatan kebakaran sentiasa diberi keutamaan.
Menurut beliau, ahli ERT memainkan peranan penting sebagai pasukan respons awal sebelum ketibaan anggota bomba sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan di premis masing-masing.
“Kerajaan Negeri merakamkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana meneruskan usaha yang sangat baik ini. Kesannya sangat positif dan bermakna kepada semua yang terlibat.
“Sebelum pihak bomba tiba, mereka sudah diberikan pendedahan, latihan dan kemahiran untuk membantu mengawal keadaan. Semua pihak termasuk syarikat, hotel dan premis perkhidmatan mempunyai tanggungjawab bersama dalam memastikan aspek keselamatan sentiasa terjaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Latihan Pemantapan Kecekapan ERT JBPM Negeri Sabah Tahun 2026 Peringkat Zon Kota Kinabalu, Beaufort, Kudat dan Keningau, pada Sabtu.
Arifin berkata, program itu bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan di tempat kerja, malah membantu memupuk budaya keselamatan dalam kalangan pekerja dan pengurusan premis.
Beliau turut menggalakkan komuniti setempat termasuk ketua kampung, ketua adat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk bekerjasama dengan JBPM dalam memperluaskan penubuhan pasukan Bomba Komuniti di kawasan berisiko kebakaran.
Sementara itu, JBPM Sabah dalam kenyataannya memaklumkan bahawa program peringkat Zon Kota Kinabalu, Beaufort, Kudat dan Keningau melibatkan penyertaan 82 pasukan ERT dengan seramai 820 peserta.
Program tersebut merupakan kesinambungan latihan yang sebelum ini diadakan di Zon Tawau dan Zon Sandakan yang masing-masing disertai 37 dan 48 premis, menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan tahun ini sebanyak 167 premis dengan 1,670 peserta.
Menurut JBPM Sabah, sepanjang latihan, peserta didedahkan kepada pelbagai modul termasuk kawad operasi peralatan kebombaan, teknik penyelamatan serta kaedah pemadaman kebakaran.
“Latihan ini bukan sahaja menguji kecekapan teknikal peserta, malah membentuk semangat kerjasama, disiplin, keberanian dan kepimpinan dalam menghadapi situasi kecemasan,” menurut kenyataan itu.
JBPM Sabah turut memaklumkan sebanyak 271 premis di Zon Kota Kinabalu, Beaufort, Kudat dan Keningau telah dikenal pasti perlu menubuhkan pasukan ERT kerana dikategorikan sebagai bangunan berisiko.
Katanya, latihan berterusan amat penting bagi memastikan setiap ahli ERT mahir menggunakan peralatan kebombaan dan mampu bertindak sebagai first responder sekiranya berlaku kecemasan di premis masing-masing.
Penganjuran program itu juga selaras dengan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2021-2030 serta Pelan Strategik JBPM 2026-2030 dalam usaha memperkukuh budaya keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat di Sabah.






