Kanak-Kanak Berusia 11 Tahun Jadi Mangsa Keganasan, Kepala Dipenggal Di Timur Laut...

Kanak-Kanak Berusia 11 Tahun Jadi Mangsa Keganasan, Kepala Dipenggal Di Timur Laut Mozambique

0
SHARE
Suasana persekitaran perkampungan di Cabo Delgado, Mozambique yang musnah diserang militan dikaitkan dengan Daesh...(Sumber Foto; AFP)

LONDON – Kanak-kanak seawal usia 11 tahun menjadi mangsa keganasan, termasuk kepala mereka dipenggal ketika pemberontakan puak jihad di timur laut Mozambique.

Pertubuhan berpangkalan di United Kingdom, Save the Children, sedih dan kesal dengan laporan bahawa kanak-kanak menjadi sasaran dalam konflik di wilayah Cabo Delgado yang kaya dengan sumber gas asli.

Memetik laporan AFP, keganasan mengorbankan 2,600 mangsa di negara tenggara Afrika itu, dengan separuh daripadanya ialah orang awam selain 670,000 lagi hilang tempat tinggal.

Seorang ibu yang enggan namanya disiarkan, berkata mendakwa puak pemberontak memenggal kepala anaknya yang berusia 12 tahun ketika beliau bersembunyi dengan tiga lagi anaknya.

“Malam itu, kampung kami diserang dan rumah kami dibakar. Kami cuba melarikan diri ke hutan berdekatan, tetapi anak sulung saya ditangkap…

“Mereka penggal kepalanya, kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana kami juga mungkin dibunuh,” katanya.

Seorang lagi ibu menzahirkan kekecewaan kerana tidak dapat mengebumikan anak lelakinya yang dibunuh individu bersenjata, selepas beliau terpaksa lari meninggalkan rumah mereka demi keselamatan.

“Selepas anak lelaki saya berusia 11 tahun dibunuh, kami sedar bahawa perkampungan itu tidak lagi selamat…

“Kami lari ke rumah bapa saya di kampung lain, tetapi beberapa hari kemudian, serangan turut berlaku di sana,” katanya.

Pengarah Save the Children Mozambique, Chance Briggs, berkata aspek keselamatan di negara terbabit merosot teruk dalam tempoh 12 bulan lalu, berikutan serangan yang semakin meruncing.

“Kami sangat jelak dengan laporan serangan yang menyasarkan kanak-kanak ini. Keprihatinan kami ketika ini terarah kepada keperluan sumber asas yang tidak mencukupi, tetapi ia perlu disalurkan kepada mereka dan ahli keluarga.

“Hampir sejuta orang mengalami kebuluran angkara konflik ini, termasuk mereka yang hilang tempat berteduh dan komuniti pelarian.”

Krisis kemanusiaan di wilayah itu semakin meruncing disebabkan banjir tahun lalu dan puting beliung Kenneth yang melanda utara Mozambique pada 2019.

Puak jihad, dikenali sebagai Al-Shabaab, yang tiada kaitan dengan kumpulan menggunakan nama sama di Somalia, melancarkan siri pemberontakan pada 2017.

Malah, mereka turut menyatakan taat setia kepada gerakan militan Daesh pada 2019.

Pada November lalu, Al-Shabaab melancarkan siri serangan terhadap kawasan perkampungan, dengan orang ramai mendakwa rumah mereka dan bangunan awam dibakar, manakala beberapa orang dibunuh.

Sumber tempatan memaklumkan, pasukan militan berkenaan ketika itu turut memenggal kepala lebih 12 lelaki dan kanak-kanak yang menyertai majlis berkhatan.

Amnesty International dalam laporan pada 2 Mac lalu berkata Al-Shabaab dan pasukan kerajaan yang disokong militia persendirian, bertanggungjawab terhadap pembunuhan ratusan orang awam di Cabo Delgado.

Tentera Mozambique bagaimanapun menafikan sebarang pembabitan dalam serangan sedemikian, selain menyifatkan laporan itu sebagai tidak benar.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata hampir 235 juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan di seluruh dunia pada tahun ini.

Separuh daripada kelompok masyarakat yang terjejas itu terdiri daripada kanak-kanak.