Iran Tutup Semula Selat Hormuz Susulan Ketegangan Dengan AS

Iran Tutup Semula Selat Hormuz Susulan Ketegangan Dengan AS

0
SHARE

ISTANBUL: Ibu pejabat tentera Iran mengumumkan penutupan sepenuhnya Selat Hormuz kepada semua kapal susulan peningkatan ketegangan dan konflik di rantau berkenaan.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, kenyataan yang disiarkan televisyen negara Iran memaklumkan laluan strategik itu ditutup kepada semua termasuk kapal tangki minyak dan kapal dagang atas faktor keselamatan.

Pihak Khatam al-Anbiya memberi amaran bahawa sebarang pergerakan melalui selat tersebut akan menjadi sasaran serangan.

Keputusan itu dibuat susulan dakwaan Iran terhadap pencerobohan berterusan Amerika Syarikat termasuk serangan terbaharu ke atas kawasan di wilayah selatan Hormozgan.

Dalam masa sama, Iran turut menolak dakwaan Amerika Syarikat bahawa laluan di Selat Hormuz masih boleh digunakan seperti biasa.

Perkembangan ini berlaku selepas media Iran melaporkan beberapa letupan, aktiviti pertahanan udara serta serangan udara di kawasan selatan termasuk Bandar Abbas, Minab, Jask, Qeshm dan Sirik.

Sementara itu, Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan bahawa pihaknya telah melancarkan beberapa serangan tambahan yang disifatkan sebagai tindakan mempertahankan diri terhadap sasaran di Iran.