Perpecahan PAS-Bersatu Jejas Peluang PN Hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan

Perpecahan PAS-Bersatu Jejas Peluang PN Hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu disifatkan sebagai langkah yang tidak tepat pada masanya, khususnya ketika Johor dan Negeri Sembilan bakal menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Memetik laporan New Straits Times, pemerhati politik berpandangan kedua-dua parti kini berdepan cabaran besar susulan pertikaian hala tuju serta kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN).

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali, berkata perpecahan itu melemahkan keyakinan terhadap PN sebagai alternatif kerajaan.

“Konflik PAS-Bersatu menimbulkan keraguan sama ada mereka mampu kekal sebagai pilihan yang kredibel. Saya tidak terkejut jika mereka kehilangan semua kerusi dalam kedua-dua pilihan raya,” katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan Melayu yang berpecah serta populariti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang semakin terhad menambah kesukaran untuk Bersatu mempertahankan kerusi di Johor.

Dalam PRN Johor 2022, PN hanya memenangi tiga daripada 56 kerusi, manakala dalam PRN Negeri Sembilan 2023, gabungan itu memperoleh lima kerusi.

Penganalisis politik Mujibu Abd Muis pula berkata Bersatu dijangka paling terkesan kerana bergantung kepada jentera pilihan raya PAS.

“Tanpa PAS, Bersatu mungkin bergelut mempertahankan kerusi,” katanya.

Sementara itu, penganalisis Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat situasi ini memberi kelebihan kepada Barisan Nasional di Johor.

“Perpecahan ini menyukarkan pembahagian kerusi dan penyelarasan kempen, sekali gus memberi kelebihan kepada BN,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya dijadual mengadakan mesyuarat bagi menentukan tarikh penting PRN Johor dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat.