KERAJAAN NEGERI KOMITED PERKASA SEKTOR KEUSAHAWANAN DI SABAH

KERAJAAN NEGERI KOMITED PERKASA SEKTOR KEUSAHAWANAN DI SABAH

0
SHARE
Shahelmey
Shahelmey ketika membuat lawatan ke reruai jualan dan pameran usahawan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PUTATAN, SABAH – Kerajaan negeri komited untuk terus menyokong dan memperkasakan sektor keusahawanan melalui pelbagai inisiatif dan program pembangunan usahawan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini termasuk pemberian geran, latihan, bimbingan, serta akses kepada pasaran dan pembiayaan.

“Dalam Belanjawan Sabah 2024 peruntukan turut disediakan dalam mengurus dan memperkasa kesejahteraan wanita melalui pelbagai program pembangunan modal insan iaitu sebanyak RM6.27 juta berikan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).

“Kerajaan juga berusaha memastikan usahawan termasuk wanita mendapat peluang dan faedah yang sama rata, oleh itu kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah menggalakkan kegiatan usahawan luar bandar untuk mengusahakan produk tempatan seperti pembuatan gong, gubahan bunga, manik dan produk makanan berasaskan bahan tempatan.

“Bagi tujuan tersebut sebanyak RM2.41 juta diperuntukkan di bawah Program Satu Daerah Satu Produk, Pembangunan Usahawan Desa dan Program Industri Desa.

“Saya berharap usahawan-usahawan di luar bandar tidak melepaskan peluang ini untuk meningkatkan sumber ekonomi masing-masing,” katanya semasa Majlis Perasmian dan Penutupan Karnival Usahawan Madani Peringkat Daerah Putatan di Dataran Pomoi Putatan, pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri lll merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.

Hajiji turut menyatakan, kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu usahawan di negeri ini termasuk dalam menyediakan tempat untuk memasarkan produk mereka.

“Kerajaan negeri telah mewujudkan beberapa Pusat Produk IKS atau IKS Mart antaranya di Beaufort, Tuaran, Kota Marudu dan Ranau serta di Oceanus Mall Kota Kinabalu. Inisiatif ini untuk membantu membangunkan sektor IKS dengan menyediakan ruang kepada usahawan-usahawan tempatan untuk mengumpul, mempromosi dan menjual keluaran usahawan tempatan dari seluruh daerah.

“Susulan kejayaan IKS Mart yang sedia ada kita akan mewujudkan empat lagi IKS Mart iaitu di Sandakan, Keningau, Kalabakan dan Luyang,” katanya.

Dalam pada itu Hajiji berharap agar Karnival Usahawan Madani tersebut akan digunakan sepenuhnya oleh usahawan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka serta membuka ruang untuk berkongsi ilmu serta pengalaman.

“Dalam era globalisasi dan digitalisasi kini kita harus memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk memajukan perniagaan serta meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan agar setanding dengan piawaian antarabangsa.

“Dalam masa sama, Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (USAHANITA) cawangan Sabah telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan generasi pemimpin wanita yang memacu ekonomi kita ke hadapan,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Sahari, Hafiza Lasin mewakili Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe, Mohamad Ikram Aidi mewakili Pegawai Daerah Putatan, Pengerusi USAHANITA Daerah Putatan, Datin Nur Shafira Azurin dan Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton. — JABATAN PENERANGAN SABAH