KOTA KINABALU, SABAH – Penyandang Ketua UMNO bahagian Sipitang, Datuk Kamarlin Ombi akan mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan parti yang dijangka akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.
Kamarlin yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan itu tidak menolak kemungkinan akan ada yang ingin bertanding jawatan disandangnya pada pemilihan itu nanti.
Beliau menjelaskan pendiriannya untuk mempertahankan jawatan itu kerana ingin terus berkhidmat kepada parti selepas BN-UMNO menghadapi kekalahan semasa Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) dan tsunami politik dengan memimpin bahagian itu sehingga ke hari ini.
“Saya juga berpendapat kepimpinan lama juga tidak harus diketepikan kerana pengalamanan luas mereka yang masih diperlukan parti selain menerima kehadiran pimpinan muda,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Disamping itu, Kamarlin turut menganggap senario keinginan dan kesungguhan pemimpin muda untuk bertanding pada pemilihan kali ini dilihat sebagai perkembangan yang amat positif dalam usaha meneruskan legasi UMNO.






