KOTA KINABALU: Pusat Kraftangan Sabah (PKS) telah melaksanakan sebanyak 1,066 program dengan peruntukan berjumlah RM47.2 juta yang memanfaatkan seramai 22,038 orang bagi tempoh 2011 hingga 2026.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian itu membuktikan pembangunan industri kraf bukan sahaja berperanan memelihara warisan budaya, malah membuka peluang ekonomi kepada masyarakat.
“Angka ini menunjukkan bahawa pembangunan industri kraf bukan sekadar memelihara khazanah, tetapi turut membuka ruang ekonomi kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, bagi tahun ini, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan melalui 29 program yang melibatkan 200 orang kumpulan sasar.
Menurutnya, Sabah mempunyai khazanah budaya yang kaya termasuk tenunan, batik, anyaman buluh dan rotan, manik serta pelbagai hasil kraftangan yang perlu diwarisi generasi muda seiring perkembangan zaman.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Apresiasi dan Penutupan Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah Sesi 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Rabu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, pembangunan modal insan perlu bergerak seiring dengan perubahan teknologi, pekerjaan dan keperluan industri.
“Anak-anak Sabah perlu diberikan ilmu serta kemahiran untuk menyesuaikan diri, berinovasi dan mengambil peluang.
“Sebab itu, pendidikan, latihan, bimbingan, keusahawanan dan akses kepada pasaran perlu saling melengkapi supaya kemahiran yang dipelajari dapat diterjemahkan kepada produk, perniagaan, pendapatan dan pembangunan ekonomi masyarakat.
“Program Khas Anak Negeri atau PKAN yang kita raikan pada hari ini merupakan satu contoh usaha yang memberi ruang kepada rakyat untuk membina keupayaan melalui kemahiran dan pengalaman,” katanya.
Menurut Hajiji, penyertaan batik dan cetakan digital PKS dalam peragaan fesyen KPDN Presents: Fashion Forward Batik Malaysia sempena Kuala Lumpur Fashion Week 2026 membuktikan kreativiti serta hasil kerja Sabah berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih luas.
Katanya, usaha Yayasan Sabah memperkukuh industri kraftangan turut diperkasakan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Sabah menerusi PKS dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Kerjasama itu disusuli penyerahan Surat Hasrat (LOI) kepada Yayasan Sabah daripada Politeknik Kota Kinabalu, All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) dan Sugee Group Sdn. Bhd.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengalu-alukan penglibatan institusi pendidikan seperti Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) dalam pelaksanaan PKAN.
“Penglibatan mereka memperlihatkan bahawa pembangunan modal insan tidak terhad kepada kemahiran tradisional, tetapi turut merangkumi bidang yang berkaitan dengan kebolehpasaran, teknologi, keusahawanan dan keperluan industri semasa.
“KTYS turut menunjukkan perkembangan positif dalam usaha pembangunan modal insan. Bagi tempoh 2016 hingga 2026, KTYS telah melaksanakan 93 program dengan jumlah peruntukan RM15.01 juta dan melibatkan seramai 1,936 orang peserta,” katanya.
Melalui PKAN, KTYS turut melaksanakan Program Gerak Cemerlang SPM (GeCerSPM) yang memberi tumpuan kepada peningkatan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran kritikal Matematik dan Sains.
Hajiji berkata, program melibatkan tiga sekolah dengan kuota 200 pelajar itu menunjukkan peningkatan kadar kelulusan daripada 35 peratus kepada 98 peratus bagi SPM 2025.
Susulan kejayaan berkenaan, penyertaan program diperluas kepada 300 pelajar membabitkan enam sekolah pada tahun ini.
Selain itu, Program Gerak Ekonomi Makanan Inovasi Laut (GEMILAU) turut dilaksanakan bagi memperkasa ekonomi golongan rentan melalui kemahiran pemprosesan makanan hasil laut, dengan 43 daripada 89 peserta berjaya meningkatkan pendapatan masing-masing.
Sementara itu, UCSF menerusi PKAN Sabah 2026 melaksanakan program Eksplorasi dan Pemerkasaan Teknologi, Kesenian dan Keusahawanan (ExPERTISE) dengan peruntukan RM750,000 bagi 11 program yang melibatkan 314 golongan sasar terdiri daripada belia dan komuniti Anak Negeri Sabah.
Hajiji berkata, Sijil Pembantu Perawatan Pesakit (PCA) antara program yang dilaksanakan tahun ini dengan kerjasama Kolej Universiti Institut Jantung Negara (IJNUC).
Katanya, seramai 13 pelajar mendapat penempatan latihan kerja selama tiga bulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan klinik swasta di Sabah.
Selain itu, program BRIDGE (Building Resources, Inclusivity, Development and Growth in Communities) berjaya dilaksanakan menerusi sembilan program berteraskan bidang seni dan kraf, pelancongan dan hospitaliti, kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi serta pertanian.
Program jangkauan itu melibatkan 292 peserta dari daerah Sipitang, Semporna, Pulau Banggi, Keningau, Ranau, Kota Belud, Kota Marudu dan Kinabatangan.
Menurut Hajiji, UCSF telah melaksanakan 85 program dengan peruntukan keseluruhan RM11.7 juta yang memanfaatkan 1,842 peserta bagi tempoh 2015 hingga 2025.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh usaha memastikan pembangunan Sabah sentiasa berpaksikan rakyat dengan peluang pembangunan terus dibuka kepada masyarakat.






