Latihan Pestapora Malaysia 2026 Himpun Barisan Artis Popular Malaysia-Indonesia

Latihan Pestapora Malaysia 2026 Himpun Barisan Artis Popular Malaysia-Indonesia

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Festival muzik rentas budaya, Latihan Pestapora Malaysia 2026 kembali dengan pengumuman barisan penuh artis dari Malaysia dan Indonesia yang bakal memeriahkan acara berkenaan di Stadium Hoki Nasional pada 15 Ogos depan.

Festival anjuran Hitman Solutions dan Boss Creator itu bakal menampilkan nama besar serantau termasuk Tulus, Juicy Luicy, Bernadya, Mahalini, Maliq & D’Essentials, Rhoma Irama Soneta dan Nadhif Basalamah.

Barisan artis Malaysia pula menampilkan Aisha Retno, Aziz Harun, Gerhana Skacinta, Masdo, Insomniacks serta FUGŌ.

Festival itu turut menjanjikan beberapa kolaborasi eksklusif rentas genre dan generasi termasuk persembahan Rhoma Irama Soneta bersama Maliq & D’Essentials, kolaborasi Masdo dan Gerhana Skacinta serta gabungan Nadhif Basalamah, Aziz Harun dan Aisha Retno.

Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal berkata, sambutan luar biasa terhadap jualan “Blind Sale Tickets” membuktikan kekuatan jenama Latihan Pestapora serta permintaan tinggi terhadap festival rentas budaya di Malaysia.

“Membawa Latihan Pestapora ke Malaysia merupakan satu pencapaian besar buat kami. Ia bukan sahaja kejayaan dari sudut penganjuran, tetapi juga satu kejayaan budaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keerand D berkata, pihak penganjur turut memberi perhatian terhadap pengalaman pengunjung dengan menyediakan pelbagai penambahbaikan termasuk stesen air percuma di seluruh kawasan festival.

Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup pula menyifatkan Latihan Pestapora sebagai platform yang mampu mengukuhkan hubungan budaya dan muzik serumpun antara Malaysia dan Indonesia.

Festival itu turut mendapat sokongan pelbagai rakan strategik termasuk Perbadanan Stadium Malaysia serta beberapa rakan media dan industri sempena kempen Visit Malaysia 2026.