Lebih 200 Ahli Warisan Sertai GRS Sempena Konvensyen GRS 2026 di Kudat

Lebih 200 Ahli Warisan Sertai GRS Sempena Konvensyen GRS 2026 di Kudat

0
SHARE

KUDAT: Lebih 200 ahli Parti Warisan (Warisan) menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan penyertaan mereka diterima Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, sempena Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha, di sini, hari ini.

Kumpulan berkenaan diketuai Datuk Mohammed Rajap @ Ariff Hj Abdullah dan diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong.

Penyertaan itu berlangsung di hadapan barisan kepimpinan GRS yang menghadiri konvensyen berkenaan.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucaptama pada konvensyen itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah mengingatkan semua parti komponen GRS supaya mengutamakan kepentingan Sabah dan gabungan berkenaan berbanding kepentingan parti atau individu.

Beliau berkata, perpaduan dalam GRS merupakan asas penting bagi membolehkan Sabah mempunyai kuasa tawar-menawar lebih kukuh di peringkat Persekutuan.

“Tidak guna kita memuji kesatuan orang lain, kalau dalam rumah GRS sendiri kita masih bertelagah. Kekuatan Sabah sebenarnya bermula di sini, daripada kekuatan kita sendiri,” katanya.

Hajiji berkata, GRS ditubuhkan pada 2020 berlandaskan aspirasi rakyat yang mahukan kekuatan politik tempatan untuk menentukan masa depan negeri sendiri, mempertahankan kepentingan rakyat serta memastikan kestabilan pentadbiran Sabah.

Katanya, kejayaan GRS muncul sebagai blok terbesar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, November tahun lalu, merupakan hasil sumbangan bersama semua parti komponen, pemimpin dan ahli gabungan berkenaan.

“Tidak ada parti yang begitu besar sehingga tidak lagi memerlukan rakannya. Dan tidak ada parti yang terlalu kecil sehingga sumbangannya boleh kita abaikan. Masing-masing mempunyai peranan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kepentingan GRS mesti mengatasi kepentingan mana-mana parti komponennya, manakala kepentingan Sabah perlu sentiasa menjadi keutamaan mengatasi kepentingan gabungan itu sendiri.

Menurutnya, prinsip berkenaan penting bagi memastikan perjuangan GRS terus berpaksikan kepentingan rakyat dan masa depan Sabah.