KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperkenalkan dasar baharu yang mewajibkan Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mengutamakan firma perakaunan tempatan dalam perolehan perkhidmatan audit dan kewangan.
Di bawah dasar ini, semua kontrak bernilai bawah RM50,000 mesti diberikan secara eksklusif kepada firma berdaftar di Sabah melalui Persatuan Akauntan Profesional Sabah (SAPA), manakala firma tempatan tetap diberi keutamaan bagi kontrak melebihi nilai tersebut.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, dasar ini bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan, khususnya graduan muda dalam bidang perakaunan dan kewangan.
SAPA menyambut baik inisiatif ini yang dilihat mampu meningkatkan peluang pekerjaan dan latihan untuk profesional tempatan.
Pada majlis itu, Masidi turut menyampaikan sijil keahlian kepada 15 ahli baharu SAPA sebagai simbol sokongan kerajaan terhadap pembangunan komuniti perakaunan profesional di Sabah.






