Lelaki Warga Asing Ditahan Miliki Syabu di Lahad Datu

Lelaki Warga Asing Ditahan Miliki Syabu di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga Indonesia berumur 32 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu.

Tangkapan dibuat hasil risikan polis di hadapan sebuah hotel di Jalan Panji, Lahad Datu, selepas menerima maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di lokasi tersebut.

Menurut kenyataan polis, suspek yang bekerja sebagai buruh kasar itu ditahan bersama satu pek plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu. Pemeriksaan lanjut mengesahkan berat dadah tersebut adalah 5.83 gram dengan anggaran nilai pasaran RM641.30.

Hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan sebat antara tiga hingga sembilan kali.

Polis menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan komuniti pekerja asing di daerah ini. Orang ramai juga digesa untuk terus menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah narkotik di peringkat akar umbi.