PAKISTAN – Mahkamah Agung Pakistan memerintahkan pembebasan segera Imran Khan yang ditangkap di Islamabad pada minggu ini dengan keputusan penahanan bekas perdana menteri itu sebagai adalah tidak sah.
Ketua hakim negara Pakistan, Umar Ata Bandial, mengisytiharkan bahawa Biro Akauntabiliti Negara (NAB) telah bertindak melanggar undang-undang dengan menangkap Imran di premis mahkamah tinggi Islamabad tanpa kebenaran dan bahawa tindakan sedemikian akan mempunyai “kesan yang menyedihkan” .
Perintah bertulis yang dikeluarkan oleh mahkamah menyatakan bahawa “cara pelaksanaan” penangkapan Khan adalah “tidak sah dan menyalahi undang-undang” dan telah melanggar haknya untuk keadilan.
Khan ditahan oleh anggota tentera pada hari Selasa ketika dia memasuki mahkamah tinggi untuk menghadapi kes rasuah.
Bandial berkata Khan telah pun menyerah diri kepada mahkamah apabila hampir 100 renjer menyerbu masuk dan menahannya, dan dia mengisytiharkan penahanan Khan “melanggar undang-undang” dan menghina mahkamah.
“Apakah maruah mahkamah yang tinggal jika 90 orang memasuki premisnya? Bagaimana mana-mana individu boleh ditangkap dari premis mahkamah?” Bandial berkata.
Pada petang Khamis, Khan dibawa ke mahkamah agung di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat dan dihadapkan di hadapan panel tiga hakim.
“Terdapat insiden keganasan selepas penahanan anda. Kami mahukan keamanan dalam negara,” katanya.
Imran memberitahu hakim beliau tidak mengetahui apa yang berlaku di negara itu.
“Saya ditangkap seolah-olah saya seorang pengganas. Bagaimana saya bertanggungjawab ke atas protes itu?” katanya.
Atas permintaan hakim, Imran merayu agar para pengikutnya bertenang.
“Kami hanya mahu pilihan raya di negara ini,” katanya.
Para hakim mengarahkan Imran untuk hadir ke mahkamah tinggi Islamabad pada hari ini (Jumaat), di mana dia akan mendapatkan jaminan dalam beberapa kes rasuah terhadapnya.
Walaupun bukan lagi banduan, Imran diarah tinggal di rumah tetamu polis semalaman sebagai seorang “tetamu” di bawah jagaan polis Islamabad untuk memastikan perlindungannya.
Imran dibenarkan membawa 10 orang pilihannya untuk menyertainya.
Kerajaan Pakistan yang diketuai oleh Perdana Menteri Shehbaz Sharif, mengecam keputusan mahkamah agung itu dan menjelaskan bahawa Imran tidak selamat daripada ditahan semula selepas dibebaskan.
“Kita akan tangkap dia sekali lagi. Jika dia mendapat jaminan daripada mahkamah tinggi esok, kami akan menunggu pembatalan jaminan dan menangkapnya semula,” kata Menteri Dalam Negeri Rana Sanaullah.
Populariti Imran telah melonjak sejak dia disingkirkan daripada kuasa, dan dia kerap menggerakkan protes di seluruh negara untuk menuntut pilihan raya umum awal dan penyingkiran tentera daripada politik.
Berita penahanannya diisytiharkan sebagai haram disambut dengan sambutan di jalanan oleh penyokongnya.
Orang ramai sehingga membantah di London terhadap penahanan Imran Khan di Pakistan.
Tentera telah ditempatkan di seluruh Islamabad dan di negeri Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa, di mana beberapa keganasan terburuk telah berlaku.
Polis berkata mereka telah menahan 1,300 orang dan 290 orang telah cedera dalam keganasan itu.
Di bandar Peshawar, tujuh orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera selepas pertempuran tercetus antara penunjuk perasaan dan polis. Seorang maut akibat terhidu asap selepas sebuah bangunan dibakar di Lahore, dan seorang lagi ditembak berhampiran pusat pemeriksaan tentera di bandar Quetta.