KOTA KINABALU: Tindakan peletakan jawatan secara beramai-ramai dalam kalangan kepimpinan Parti Warisan Sabah Bahagian Keningau mencetuskan tanda tanya sama ada berlaku pergolakan dalaman yang serius di peringkat bahagian berkenaan.
Menurut sumber, langkah drastik itu didakwa melibatkan hampir keseluruhan barisan kepimpinan termasuk ketua bahagian, naib ketua bahagian, ketua wanita, ketua wira serta ahli jawatankuasa (AJK) bahagian.
Dalam perkembangan sama, seramai 21 ketua cawangan yang hadir turut mengambil tindakan serupa dengan mengemukakan peletakan jawatan masing-masing.
Situasi itu sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa struktur organisasi Parti Warisan Sabah di Keningau kini berada dalam keadaan tidak stabil, malah didakwa ‘lumpuh’ sehingga 90 peratus.
Bagaimanapun, punca sebenar tindakan tersebut masih belum dapat dipastikan, dengan sumber memaklumkan ia mungkin berkait isu dalaman termasuk kepimpinan dan hala tuju parti.

Perkembangan itu turut dikongsi Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sabah, Ismail Sabran menerusi hantaran di Facebook hari ini.
“Peletakan jawatan kepimpinan bahagian Warisan Keningau yang diketuai mantan ADUN Liawan, Tuan Rasinin Koutis yang juga merupakan ketua bahagian, bersama ketua wanita dan ketua wira.
“21 orang ketua-ketua cawangan yang juga ikut bersama letak jawatan. Hanya ketua Wirawati dan timbalan ketua bahagian Warisan Keningau yang belum sahkan sama ada letak jawatan ataupun masih kekal,” katanya.
Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada kepimpinan pusat Parti Warisan Sabah berhubung dakwaan berkenaan.






