Mr. Helmet sasar 1,000 mesin seluruh negara menjelang hujung tahun

Mr. Helmet sasar 1,000 mesin seluruh negara menjelang hujung tahun

0
SHARE

AMPANG: CleanXpert Sdn Bhd menyasarkan sebanyak 1,000 unit mesin pembersihan topi keledar automatik, Mr. Helmet ditempatkan di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Razalee Yahya berkata, sasaran itu adalah sebahagian daripada pelan pengembangan agresif syarikat susulan sambutan positif pengguna terhadap perkhidmatan berkenaan.

Menurutnya, mesin berteknologi automatik itu mampu menyah bau, menghapuskan kuman serta bakteria selain mengembalikan kesegaran topi keledar dalam tempoh singkat.

“Cuaca panas dan lembap di negara ini menyebabkan topi keledar mudah berbau serta menjadi tempat pembiakan kuman jika tidak dibersihkan secara berkala.

“Justeru, kami melihat keperluan untuk memperluaskan penempatan mesin ini di lebih banyak lokasi strategik bagi memudahkan pengguna mendapatkan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Mr. Helmet di Taman Rekreasi Kampung Tasik Tambahan, di sini pada Sabtu.

Razalee berkata, ketika ini mesin berkenaan telah ditempatkan di beberapa lokasi termasuk stesen minyak, bengkel motosikal, kedai dobi serta kawasan awam.

Katanya, pihaknya turut merancang untuk menempatkan mesin berkenaan di masjid dan lokasi tumpuan ramai bagi memperluas akses kepada pengguna.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah positif dalam membantu penunggang motosikal menjaga kebersihan topi keledar.

Menurutnya, kemudahan itu amat diperlukan terutama bagi pekerja penghantaran makanan, p-hailing dan pengguna yang berulang-alik ke tempat kerja menggunakan motosikal.

“Perkhidmatan seperti ini membantu memastikan topi keledar sentiasa bersih dan bebas kuman, sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, model perniagaan berasaskan mesin layan diri itu juga berpotensi diperluaskan melalui kerjasama dengan pemilik premis serta usahawan tempatan di lokasi strategik.