MELAKA: Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencabar Angkatan Muda Harapan (AMH) supaya turut mendesak Parti Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) keluar daripada Kerajaan Perpaduan jika benar-benar konsisten dengan pendirian mereka berhubung kerjasama politik ketika ini.
Memetik Berita Harian, Akmal dilaporkan berkata, desakan supaya BN meninggalkan Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dibuat secara terpilih kerana WARISAN dan GPS juga pernah atau berpotensi bertanding menentang Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya, namun masih kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Saya minta AMH mendesak juga WARISAN untuk keluar kerana mereka juga melawan PH ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu, sedangkan ketika itu mereka adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.
“Jika selepas ini berlangsung PRN Sarawak dan GPS bertanding menentang PH, desak juga GPS untuk keluar daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, AMH dilaporkan menggesa semua menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan daripada Kabinet susulan gabungan itu secara terbuka menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Menurut AMH, tindakan BN itu menunjukkan parti berkenaan tidak lagi menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, jika AMH benar-benar mahu berpegang kepada prinsip, desakan sama perlu dikenakan terhadap semua parti yang berada dalam situasi serupa dan bukannya hanya tertumpu kepada BN serta UMNO.
Katanya, tindakan memilih sasaran tertentu hanya akan menimbulkan persepsi wujud layanan berbeza terhadap parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Prinsip yang digunakan terhadap UMNO sepatutnya turut diguna pakai terhadap WARISAN dan GPS sekiranya mereka bertanding menentang PH dalam pilihan raya negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendirian Pemuda UMNO yang mahu parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan kekal tidak berubah.
“Sebagaimana pendirian Pemuda UMNO sebelum ini yang mahu parti terbesar Melayu itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan, begitulah juga pendirian kami kekal hingga kini,” katanya.






