Piala Dunia Medan Penyatuan, Tayangan Skrin Besar Perlawanan Akhir di Enam Daerah

Piala Dunia Medan Penyatuan, Tayangan Skrin Besar Perlawanan Akhir di Enam Daerah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kejohanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 dijadikan medan penyatuan rakyat Sabah apabila Festival Komuniti Havoc 2026 menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum menerusi tayangan skrin besar secara serentak di enam daerah di seluruh negeri.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penganjuran festival itu bukan sekadar meraikan perlawanan akhir antara Sepanyol dan Argentina, malah memperkukuh semangat perpaduan serta kebersamaan dalam kalangan rakyat melalui sukan.

Kita berharap ia akan dapat menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum, dan ini sebagai satu bukti bahawa sukan itu sebenarnya adalah sukan yang boleh menyatupadukan komuniti dan masyarakat walaupun kita datang daripada pelbagai latar belakang,” katanya pada sidang media sempena Festival Komuniti Havoc 2026 di Kompleks Sukan Likas, di sini pada Ahad.

Tayangan skrin besar itu berlangsung serentak di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu serta Arena Belia Beaufort, Kudat, Keningau, Sandakan dan Tawau, membolehkan orang ramai berhimpun menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 menerusi skrin besar.

Menurut Nizam, selain menyemarakkan suasana kejohanan bola sepak terbesar dunia yang berlangsung setiap empat tahun, festival berkenaan turut memberi peluang kepada usahawan belia menjana pendapatan melalui pembukaan gerai jualan makanan, minuman dan pelbagai barangan.

Beliau berkata, penganjuran itu turut dijayakan hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan serta Kementerian Komunikasi yang membolehkan tayangan skrin besar diperluaskan ke beberapa daerah di Sabah.

Katanya, kerajaan negeri berharap kemeriahan Piala Dunia mampu mencetuskan minat lebih ramai belia terhadap sukan bola sepak dan menjadi pemangkin melahirkan pemain bertaraf antarabangsa pada masa hadapan.

“Kita berharap ia juga menjadi suntikan kepada orang-orang muda di Sabah ini agar dapat lebih aktif, lebih bergiat di dalam sukan bola sepak yang merupakan sukan nombor satu di dunia. Mudah-mudahan satu hari nanti Sabah dapat melahirkan pemain-pemain bola sepak yang boleh kita banggakan sehingga menjadi juara mewakili negara Malaysia ke peringkat Piala Dunia pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas kemungkinan tayangan skrin besar bagi kejohanan sukan antarabangsa lain pada masa hadapan, Nizam berkata kementerian akan mempertimbangkannya sekiranya inisiatif berkenaan terus memberi manfaat kepada pembangunan belia dan sukan di Sabah.

“Sekiranya ia boleh memberi manfaat kepada belia-belia kita, atlet-atlet sukan kita, kita akan mempertimbangkan untuk mengadakan juga siaran langsung di kejohanan-kejohanan sukan yang besar di peringkat antarabangsa pada masa akan datang,” katanya.

Pada perlawanan akhir Piala Dunia kali ini, Sepanyol sekali lagi muncul sebagai juara bertahan di mana menembusi tiang gol Argentina dengan keputusan perlawanan 1 – 0.