Kem Badminton Negara Sedia Mulakan Aksi Piala Sudirman Menentang England Hari Ini

Kem Badminton Negara Sedia Mulakan Aksi Piala Sudirman Menentang England Hari Ini

0
SHARE
Lee Zii Jia...

KUALA LUMPUR – Kem badminton Malaysia bersedia sepenuhnya apabila akan memulakan aksi pembukaan Piala Sudirman hari ini menentang England di Vantaa, Finland.

Sandaran negara buat jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam menggalas tanggungjawab besar demi memburu kemenangan dalam perlawan berprestij itu.

Lee Zii Jia yang juara Seluruh England (All England) mengakui walaupun sedikit beban menggalas tanggungjawa itu, dia mempunyai ‘resipi’ tersendiri bagi mengatasi tekanan berkenaan dan menyifatkan dirinya lebih tenang berbanding penampilan sulungnya dalam acara berpasukan campuran itu dua tahun lalu di Nanning, China.

“Seperti saya katakan sebelum ini, tekanan itu akan ada. Namun, saya rasa tak ada pilihan dan perlu berdepan dengan cabaran ini…

“Terutamanya saya, Aaron-Wooi Yik, saya rasa tanggungjawab itu akan berat namun kami tak boleh mengelak dan akan mengambil cabaran ini sebaiknya.

“Apa yang penting adalah diri sendiri, itu paling penting… sama ada kamu boleh mengawal tekanan ataupun tidak. Saya rasa itu paling penting dan ini jalan yang pernah saya lalui sebelum ini.

“Dua tahun lalu adalah Piala Sudirman pertama saya. Pada masa itu, agak tertekan tetapi bila sudah dapat mengawal dan mempunyai pengalaman, ia akan menjadi lebih mudah, lebih matang dan dapat mengawalnya sendiri,” kata Zii Jia yang juga kapten pasukan dalam satu kenyataan malam tadi.

Skuad badminton negara mempertaruhkan Zii Jia, Aaron-Wooi Yik dan pemain perseorangan wanita, S Kisona untuk mengutip mata pada aksi pertama Kumpulan D menentang England hari ini.

Pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik…

Zii Jia dijangka bertemu pemain ranking ke-202 dunia, Johnnie Torjussen manakala Kisona yang kali pertama menggalas tugas perseorangan wanita utama diramal bertemu Chloe Birch sementara Aaron-Wooi Yik yang masih segar dengan kejayaan meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, akan menentang Ben Lane-Sean Vendy.

Ketiga-tiga wakil negara itu belum pernah bertemu dengan lawan masing-masing sebelum ini.

Dalam aksi beregu wanita pula, skuad negara dijangka menurunkan Pearly Tan-M Thinaah yang diramal bertemu Chloe-Lauren Smith manakala Hoo Pang Ron-Cheah Yee See pula menjadi pertaruhan dalam acara beregu campuran sekali gus hampir pasti berdepan pasangan nombor tujuh dunia, Marcus Ellis-Lauren.

Selepas aksi bertemu England, Malaysia akan bertemu Mesir, Selasa ini sebelum mengakhiri saingan kumpulan bertemu Jepun pada Khamis.

Hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke peringkat suku akhir.