Lebih 50% Remaja Di Sabah Telah Terima Dos Pertama Suntikan Vaksin COVID-19

Lebih 50% Remaja Di Sabah Telah Terima Dos Pertama Suntikan Vaksin COVID-19

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Lebih separuh atau 50.5 peratus (50.5%) penduduk remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sabah telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat 25 September, demikian menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah itu berkata, setakat 25 Sept seramai 20,148 remaja telah menerima suntikan vaksin itu menjadikan jumlah kumulatif remaja menerima dos pertama di Sabah adalah seramai 215,249 orang.

“Ini angka memberangsangkan sejak Sabah memberi kebenaran suntikan vaksin bermula 16 Sept lepas,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata Sabah merekodkan sedikit peningkatan kelmarin (26 Sept) dengan 1,078 kes baharu berbanding sebelum ini dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 194,264 kes.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 26 September 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

“Bilangan pesakit sembuh ialah 2,394 orang menjadikan jumlah kumulatif 173,450 orang manakala 3,493 orang masih menerima rawatan,” katanya.