75 Jentera Pacu Pengeluaran Padi, Sabah Sasar SSL 30 Peratus Dalam Lima...

75 Jentera Pacu Pengeluaran Padi, Sabah Sasar SSL 30 Peratus Dalam Lima Tahun

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyerahkan 75 unit jentera pertanian kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) bagi mempercepat mekanisasi tanaman padi serta meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras Sabah kepada sekurang-kurangnya 30 peratus dalam tempoh lima tahun.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, jentera pembajak dan penuai itu akan membantu memodenkan industri padi, meningkatkan produktiviti serta mendorong pesawah meneruskan kegiatan penanaman.

“Dengan adanya bantuan 75 buah jentera pembajak dan penuai ini, saya yakin ia akan memberikan sedikit semangat kepada petani kita untuk meneruskan perusahaan menanam padi,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan 75 Unit Jentera Pertanian Pelbagai Jenis LPBS di KKIP pada Jumaat lalu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor atas kelulusan peruntukan khas bagi memenuhi keperluan petani dan pesawah di Sabah.

Jamawi berkata, kerajaan juga memperkenalkan skim Mini Estate mulai tahun ini untuk mengusahakan semula kira-kira 15,000 ekar kawasan sawah yang terbiar sejak lapan hingga 10 tahun lalu.

Menurutnya, enam syarikat sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pemilik tanah untuk mengusahakan kawasan berkenaan, manakala 19 lagi syarikat masih dalam proses penilaian.

Sekiranya kawasan ini dapat diusahakan melalui sistem Mini Estate, di samping bantuan jentera baharu kepada petani yang masih mengusahakan sawah, kita yakin SSL padi dan beras Sabah dapat ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus dalam tempoh lima tahun.

“Sekiranya kita dapat meningkatkan hasil sehektar, pencapaiannya boleh melebihi 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata, enam kawasan jelapang padi di bawah LPBS dikenal pasti untuk menerima manfaat mekanisasi itu, dengan Kota Belud menjadi tumpuan utama kerana mempunyai kawasan sawah seluas kira-kira 8,000 ekar.

Menurut Jamawi, bantuan jentera kepada kawasan lain akan dipertimbangkan berdasarkan keupayaan petani membangunkan sawah secara teratur serta menyediakan mekanisme pengurusan dan penyelenggaraan mesin.

“Kita akan menilai keupayaan mereka mendapatkan bantuan jentera. Namun, mereka perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa kawasan dibangunkan secara teratur dan mempunyai mekanisme untuk menjaga mesin supaya dapat bertahan lama,” katanya.

Jamawi berkata, pendekatan baharu itu bukan sekadar menyerahkan jentera, malah merangkumi pemindahan teknologi dan pembangunan pusat servis bersama syarikat pembekal.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan penduduk setempat memahami kaedah penggunaan dan penyelenggaraan jentera dengan betul supaya aset berkenaan dapat dimanfaatkan dalam tempoh panjang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, satu mesyuarat susulan bersama kementerian Persekutuan berkaitan akan diadakan di Putrajaya pada 21 September bagi membincangkan bantuan pembangunan padi secara Mini Estate dan usaha meningkatkan hasil padi bagi setiap ekar.

“Saya yakin jika dilaksanakan secara teratur dan terancang, usaha ini akan menjadi pemangkin kepada industri padi serta memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat Sabah, khususnya golongan pesawah,” katanya.