364 Sekolah, Gereja dan Tokong di Pantai Barat Utara Sabah Terima RM6.82...

364 Sekolah, Gereja dan Tokong di Pantai Barat Utara Sabah Terima RM6.82 Juta

0
SHARE

KOTA MARUDU: Sebanyak 364 sekolah, gereja dan tokong di lima daerah dalam Zon Pantai Barat Utara menerima bantuan kewangan untuk sekolah dan badan keagamaan bukan Islam bernilai RM6.82 juta pada majlis diadakan di Dewan SJKC Khoi Ming, di sini kelmarin (26 Nov).

Ia melibatkan 45 buah sekolah, dengan nilai keseluruhan bantuan sebanyak RM2.29 juta, 310 buah gereja (RM4.11 juta) dan sembilan buah tokong (RM425,000). 

Lima daerah dalam Zon Pantai Barat Utara ialah Kudat, Banggi, Matunggong, Kota Marudu dan Pitas.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki yang menyempurnakan penyerahaan bantuan itu berkata, Kerajaan Negeri senantiasa prihatin, juga mengamalkan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini. 

“Semoga sumbangan dan bantuan kewangan ini sedikit sebanyak memberi keselesaan dan manfaat serta dapat memupuk semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya semasa berucap pada majlis tersebut.

Julita yang juga ADUN Matunggong, menyifatkan bantuan kewangan ini sebagai pelengkap untuk meringankan beban pihak sekolah dan badan-badan keagamaan, dalam usaha memastikan kemudahan-kemudahan sekolah serta rumah-rumah ibadat yang berkenaan agar keadaan sekolah dan rumah-rumah ibadat sentiasa berada dalam keadaan yang kondusif, selamat dan selesa digunakan.

Beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan bantuan kewangan untuk tahun hadapan juga telah bertambah seperti yang diumumkan pada sesi pembentangan Belanjawan Negeri 2025 pada 15 November lalu.

Di bawah Belanjawan Negeri 2025, sejumlah RM70 juta diperuntukkan bagi tujuan tersebut, pertambahan sebanyak RM13.25 juta berbanding tahun 2024 (RM56.75 juta) dan tahun 2023 (RM54.05 juta).

Beliau berkata, permohonan bantuan kewangan tahun 2025 akan dibuka seperti biasa mulai 2 Januari hingga 31 Mac, 2025 dan borang permohonan boleh diakses di laman web Kementerian Kewangan Negeri.

Beliau turut menyeru sektor swasta dan dewan perniagaan atau persatuan perdagangan untuk turut serta dan sama-sama mendukung institusi sekolah dan badan-badan keagamaan di negeri ini.

Majlis penyerahan surat kelulusan bantuan ini merupakan yang terakhir diadakan selepas Zon Pantai Barat Selatan, Zon Pedalaman Bawah (Beaufort), Zon Pedalaman Atas (Tenom), Zon Pantai Timur (Sandakan dan Tawau).